Rabu, 21 September 2011

Forum PDRM bincang undang-undang ganti ISA

MALAYSIA KINI


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan forum yang melibatkan pelbagai pihak bagi membincangkan undang-undang baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

NONEKetua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar (kiri) berkata ia bagi menentukan keselamatan negara dan rakyat akan sentiasa terjamin dengan undang-undang baru itu kelak.

"Kita mempunyai persediaan... dan kita akan mengadakan forum bagi menentukan keselamatan rakyat tidak akan tergugat dengan undang-undang baru yang akan ditentukan nanti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Triaj PDRM di balai polis Travers.

Perkhidmatan Triaj yang dilaksanakan di kaunter pertanyaan balai polis menawarkan bantuan mesra pelanggan yang mengalami trauma seperti kes rogol, keganasan rumah tangga, wanita mengandung, warga emas dan sebagainya.

Ismail berkata antara pihak yang terlibat dalam forum itu ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), pakar-pakar perundangan dan Jabatan Peguam Negara.

"Kerjasama bagi membicangkan perkara itu dilihat perlu bagi menentukan dan menjaga keselamatan negara pada masa akan datang," katanya.

Pada 15 September lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) akan dimansuh dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

azlanSementara itu Ismail berkata dengan pelancaran Triaj itu, PDRM akan menyediakan bilik khas yang dikenali sebagai "Bilik Triaj" bagi mengasingkan pelanggan yang datang untuk kes-kes sensitif demi menjaga kerahsiaan mereka.

"Mereka adalah pelanggan yang mengalami trauma, kes mangsa rogol, keganasan rumah tangga, wanita mengandung, warga emas, ragut dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata perkhidmatan Triaj yang dilancarkan akan melibatkan 35 balai polis di kontinjen 'kawasan panas' iaitu Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

"Fasa pertama telah dilaksanakan pada tahun 2010 dengan lima balai polis dipilih sebagai balai polis perintis untuk perkhidmatan Triaj iaitu dua di Kontinjen Selangor dan tiga di Kuala Lumpur.

"Balai-balai itu ialah Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam, Balai Polis Travers, Balai Polis Petaling dan Balai Polis Sungai Besi," katanya.

Beliau berkata PDRM juga turut akan menambah kelengkapan logistik di ruang menunggu seperti set sofa dan televisyen 32 inci untuk memberi keselesaan kepada mereka yang mendapatkan perkhidmatan Triaj.

"Sebanyak RM50,000 telah diperuntukkan kepada setiap balai polis yang terpilih untuk tujuan penambahbaikan pejabat pertanyaan," katanya.- Bernama

Tiada ulasan: