Selasa, 6 September 2011

Fitnah II cabaran kepada Ketua Hakim baru- Shamsul

Oleh: Ahmad Fadli



KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan perjalanan kes Fitnah II yang sarat dengan cubaan campur tangan politik dari Umno adalah satu cabaran kepada Ketua Hakim Negara yang baru dilantik, Tan Sri Arifin Zakaria.

Tan Sri Arifin Zakaria akan memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara itu berkuatkuasa 12 September ini menggantikan Tan Sri Zaki Azmi yang mencapai umur persaraan wajib pada tarikh berkenaan.

“Kes Fitnah II ini adalah satu cabaran kepada Ketua Hakim Negara yang baru samada beliau mempunyai keberanian untuk membersihkan sistem kehakiman negara.

“Saya yakin institusi kehakiman akan dilihat bersih dan saksama jika mereka mendapati Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dalam kes Fitnah II ini,” kata Shamsul.

Shamsul membuat kenyataan itu dengan merujuk kepada kabel diplomatik terbaru yang dilapor dibocorkan laman Wikileaks.

Laporan kabel itu dilaporkan mengandungi kenyataan dari duta Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada tahun 2009, James R Keith kepada Jabatan Negara di Amerika Syarikat.

Keith melaporkan bahawa beliau percaya kerajaan Perdana Menteri Najib akan melakukan apa-apa sahaja bagi memastikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan dan tidak lagi berada dalam senario politik Malaysia.

Menurut Shamsul, perkara yang terkandung dalam kabel itu mencerminkan satu bentuk campur tangan dalam sistem kehakiman yang sememangnya berlaku di negara ini.

Beliau mengambil contoh kes pita rakaman peguam VK Linggam yang didapati terlibat melobi dalam menentukan Ketua Hakim Negara pada masa itu.

“Dalam video itu ditunjukkan bagaimana perlantikan Ketua Hakim Negara mampu diatur seorang peguam kanan. Walau bagaimanapun, cadangan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes itu tetap juga tidak juga dilaksanakan,” kata Shamsul.

Justeru, sehingga kini rakyat kebanyakannya masih lagi sangsi dengan integriti sistem kehakiman negara, kata Shamsul.

Di atas sebab itu jugalah Anwar memilih untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh sewaktu memberikan hujah pembelaannya.

“Beliau hilang kepercayaan kepada kepada integriti mahkamah. Beliau sebagai tertuduh merasakan hakim tidak adil dalam mendengar kes itu.

“Justeru, beliau menggunakan pendekatan untuk menjelaskan duduk perkara sebenar walaupun beliau tidak yakin perbicaraan berjalan mengikut undang-undang sebenar.

Namun, beliau tetap berani menyatakan pandangannya di hadapan hakim secara berterus terang,” kata Shamsul.

Tiada ulasan: