BN - Barang Naik !!! Isu harga barang naik akan tutup isu Mat Indera
Oleh: ZULKIFLI YAHAYA (Harakah)
Serangan bertalu-talu terhadap Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan PAS sendiri berhubung isu Mat Indera dibuat tanpa henti, setiap hari. Ada pihak dalam Pakatan Rakyat yang sudah panik, nampak macam kertas undi PAS dalam tong undi terbang melayang-layang.
Serangan yang dibuat oleh media talibarut BN secara bersepadu dan bertalu-talu itu adalah salah satu dari kaedah peperangan. Di zaman Rasulullah SAW ia dipanggil Pakatan Ahzab. Ia ditiru oleh semua pakatan ketenteraan hingga ke hari ini. Amerika Syarikat, setiap kali menyerang musuh akan bergabung dengan rakan-rakan sealiran membentuk Tentera Bersekutu. Apa perlunya pakatan, walhal Amerika Syarikat sendiri sudah cukup kuat kalau setakat untuk membelasah Iraq. Ia mahu menunjukkan kepada dunia bahawa tindakannya disokong ramai pihak. Itulah yang dikatakan perang saraf, ia mengiringi perang persenjataan.
Dalam perang propaganda juga begitu. Sejak UMNO menjadikan perunding Yahudi sebagai penasihat, kita dapat melihat keseragaman modus operandi mereka dalam perang saraf. Setiap isu yang dilonjakkan akan dimainkan oleh semua media dan melalui semua medium. Ia akan diikuti oleh himpunan mengangkat sepanduk di seluruh negara oleh pelbagai pihak. Akan terbit kenyataan demi kenyataan oleh pelbagai NGO (yang kesemuanya adalah rangkaian satelit UMNO). Diikuti pula dengan laporan polis yang bercambah di seluruh negara.
Cuba perhatikan rentetan isu yang berlaku dalam negara; isu liwat, video seks Datuk Eskay, pembinaan kuil di Shah Alam, kandang babi di Selangor, penggunaan kalimah Allah, Himpunan Bersih 2.0, serbuan JAIS terhadap gereja, roboh gerai di Pulau Pinang dan terbaru, Mat Indera – modus operandi mereka sama sahaja. Ia tidak berlaku secara spontan melainkan perancangan dan arahan. Mereka mahu merperlihatkan kepada rakyat jelata bahawa ia adalah suatu kebangkitan atau gelombang penolakan terhadap pihak tertentu. Kelebihan mereka ialah mempunyai peruntukan untuk mengupah ‘pelakon-pelakon opera politik’ itu dan mereka menguasai media utama negara.
Adakah dalam isu yang disensasikan dari kenyataan Mat Sabu mengenai Mat Indera ini ia akan menjejaskan PAS? Setakat ini belum ada kajiselidik dibuat terhadap responden berhubung isu tersebut. Tapi kalau penulis diajukan dengan soalan itu, saya berani mengatakan, ia tidak menjejaskan undi PAS!
Pertama, mengaitkan PAS dengan keganasan dan komunis bukan isu baru. Lebih dua dekad lalu para pemimpin Umno silih berganti menyerang PAS dengan tuduhan ‘PAS sebarkan ideologi komunis’ dan ‘PAS lebih bahaya dari komunis’. Antara yang mengeluarkan kenyataan celupar itu ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tengku Razaleigh Hamzah. Tapi PAS tidak berkubur dengan pencemaran imej melalui tuduhan komunis. PAS adalah parti Islam yang menolah semua ideologi ciptaan manusia serta melolak semua aqidah yang salah. Justeru menuduh PAS sokong murtad, kristian dan komunis tidak akan berbekas.
Kedua, serangan ala Ahzab hari ini berbeza dengan serangan ala Ahzab lebih dua dekad yang lalu. Meskipun PAS tetap belum menguasai media utama negara tapi PAS berpeluang menggunakan media kedua atau media maya. Dalam media utama dilaporkan Mat Sabu menyokong komunis tapi dalam media maya Mat Sabu cuma menyokong Mat Indera bukannya komunis. Dalam media utama Mat Indera adalah pengkhianat tetapi dalam media maya orang boleh meneliti biodata lengkap Mat Indera siap dengan bukti-bukti perjuangannya. Golongan cerdik, pengingin tahu dan anak-anak muda menjadikan media kedua sebagai sumber maklumat. Golongan ini adalah majority senyap yang mencorak pemikiran masyarakat terbesar di luar sana.
Ketiga, hakikatnya rakyat sudah biasa sangat dengan serangan ala Ahzab terhadap pembangkang. Ia nampak macam gah tapi tak mampu merubah apa-apa melainkan (mungkin) memantapkan keyakinan ahli-ahli dan penyokong mereka sendiri sahaja, terhadap isu yang dibawa. Contohnya serangan ala Ahzab terhadap Datuk Seri Anwar sewaktu beliau bertanding pilihanraya kecil Permatang Pauh. Majoritinya tidak merosot, malah bertambah. Teorinya mudah, kesan besar akan tidak terasa apabila orang menganggap ia perkara biasa.
Keempat, isu tersebut tidak menyentuh hati nurani rakyat yang tidak terbabit. Tidak sampai berapa kerat pihak yang kena mengena dengan Peristiwa Bukit Kepong masih hidup. Ahli keluarga mereka sebaliknya berterima kasih kepada Mat Sabu kerana akibat kenyataan beliau, tak semena-mena balu polis yang terbabit dapat pencen arwah suaminya. Berpuluh tahun mereka tidak dipedulikan, kerana Mat Sabu, mereka mendapat perhatian. Pihak yang tiada kena mengena dengan peristiwa itu pula tidak akan berasa sensitif apa-apa. Pihak yang mengangkat sepanduk dan membuat laporan polis terhadap Mat Sabu adalah orang Umno. Mat Sabu tidak buka mulut untuk berkata apa-apa pun memang mereka dah marah dekat PAS. Itu biasa.
Isu Kenaikan harga barang
Bersama isu Mat Sabu ada satu isu besar dalam negara yang menyentuh hati nurani setiap rakyat Malaysia iaitu peningkatan kos sara hidup atau kenaikan mendadak harga barang. Semua orang terasa sebab semua rakyat Malaysia berbelanja. Satu-satunya isu yang paling berkesan dan mudah difahami rakyat ialah isu yang terkena batang hidung sendiri. Merdeka Centre yang melakukan kajiselidik mendapati sokongan terhadap Perdana Menteri susut 6 peratus, faktor utamanya isu kenaikan harga barang. AJK PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli membayangkan pilihanraya umum tidak akan diadakan pada tahun ini kerana kemelesetan ekonomi yang memberi kesan mengakibatkan kenaikan kos sara hidup. Hampir semua kerajaan didunia tumbang sama ada melalui demokrasi atau demonstrasi jalanan apabila rakyat dihimpit tekanan ekonomi.
Kenaikan harga barang di Malaysia ada kaitan dengan kemelesetan di peringkat global, tapi orang kampung tak peduli dan tak mahu ambil tahu isu dunia. Bagi mereka kerajaan yang patut kawal kenaikan harga barang. Jika barang terus naik, maka parti yang memerintah kena turun. Proses menurunkan parti yang memerintah itulah mesti digembelingkan.
Semua pihak dalam PR perlu gerakkan gelombang kebangkitan rakyat dengan mengeksploit sepenuhnya isu kenaikan kos sara hidup. Beri penumpuan terhadap isu ini. Lebih berkesan menumpukan isu dari memperbagaikan isu. Gunakan kaedah yang digunakan oleh BN selama ini; bantahan seluruh negara, angkat sepanduk, hantar memo, gerakkan penerangan besar-besaran dari pentas ceramah hingga ke kedai kopi, guna sepenuhnya media maya dan asak bertubi-tubi macam yang dibuat oleh mereka terhadap Mat Sabu – Insya Allah BN akan tumbang di Pusat kerana isu kenaikan harga barang ini. PASPB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan