Ahad, 11 September 2011

Bekas IGP Rahim dakwa Mat Sabu rakus mahu menang PRU

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tidak harus “rakus” sehingga hanya mahu menang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya dan memperkukuhkan pengaruh politik.

Malah Rahim yang menjadi perhatian ekoran insiden mata lebam melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 berkata, beliau juga tidak mahu Mohamad menggunakan polis sebagai modal ataupun bahan politik sehingga menggambarkan mereka sebagai “satu jabatan daripada Umno.”

“Saya nasihatkan janganlah rakus nak menang, nak cari pengaruh, nak lebih kerusi dalam Parlimen sehingga polis menjadi bahan untuk anda hentam sehingga ke satu peringkat polis dikatakan satu jabatan daripada Umno,” kata beliau dalam wawancara dibawa akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

PAS, terutamanya Mohamad atau lebih mesra dikebali sebagai “Mat Sabu” diserang pemimpin-pemimpin Umno kerana didakwa mengagung-agungkan komunis sejak tiga minggu lalu.

Dalam ceramahnya, Mohamad didakwa berkata bahawa pejuang kemerdekaan telah melancarkan serangan di balai polis Bukit Kepong — membunuh 25 orang — semasa pemberontakan komunis pada 1950.

Beliau juga mengatakan Ahmad Indera atau Mat Indera — salah seorang individu yang dipujinya ketika ceramah itu telah dikatakan sebagai seorang pejuang kemerdekaan.

Mengenai tragedi Bukit Kepong, kata Rahim, “dalam kes membaham Bukit Kepong, polis meluru untuk mempertahankan premis dan mempertahankan diri.”

“Bukan kerana membela kerajaan British, bukan juga kerana menjadi hamba abdi British. Tindakan itu adalah kerana undang-undang, jika mereka tidak mempertahankan keadaan siapa pula yang akan mengawal keselamatan di kawasan itu, hanya kerana ketika itu kita belum merdeka maka kerajaan yang ada adalah kerajaan British,” kata beliau.

Oleh itu kata Rahim, Mohamad tidak wajar bercakap benda-benda yang tidak benar.

“Kalau tak tahu jangan bercakap, memang bila anda bercakap orang akan tergelak tetapi adakah anda mahu orang tergelak apabila bercakap tentang nyawa polis yang terkorban?” katanya.

Rahim juga mendakwa “orang macam Mohamad Sabu, bila tengok polis tangkap seolah-olah kita anjing British.”

Sambil berkata beliau sendiri pernah dikatakan “bapa anjing”, kata Rahim, sedangkan tidakkah “anda semua tahu bahawa tugas polis amat universal tidak kira sama ada polis di negara komunis, atau di Amerika atau di Amerika Latin atau di Afrika.”

Hujah beliau, sumpah polis pada hari pertama bekerja amat ringkas iaitu untuk taat setia menegakkan undang-undang dan melaksanakannya demi keselamatan serta ketenteraman awam.

“Siapa pun pemerintah kalau guna undang-undang yang sama pasukan polis itu akan melaksanakan undang-undang itu termasuk kalau Menteri Dalam Negerinya ialah Mohamad Sabu.

“Kecuali Akta Polis 1967 dipinda menetapkan perkara-perkara lain, maka polis juga tertakluk kepada pindaan itu seperti misalnya ketua Polis Negara hendaklah timbalan presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS negeri menjadi ketua polis negeri, maka polis akan terima,” katanya sambil menambah, “polis tidak akan memberontak, polis tidak kudeta dan juga tidak mengkudeta walaupun kerajaan itu antirakyat atau diktator kerana sumpahnya untuk setia melaksanakan undang-undang demi keamanan rakyat.”

Tiada ulasan: