Jumaat, 9 September 2011

Bakun: Najib digesa bela nasib orang asal

Muhammad Faizal


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Sarawak memberi pembelaan terhadap nasib pemilik tanah adat (NCR) yang kehilangan tanah mereka akibat ditenggelami air daripada projek empangan hidroelektrik Bakun.

Biarpun Mahkamah Persekutuan mengenepikan rayuan berhubung saman yang dikemukakan oleh pemilik tanah iaitu Bato Bagi dan lima yang lain, namun hak yang perlu diperolehi oleh komuniti yang masih tinggal di sana mesti ditunaikan.

Bercakap pada satu sidang media hari ini, ahli parlimen Pakatan Rakyat berkata mereka bukan mempertikaikan tindakan yang telah diambil oleh Mahkamah Persekutuan itu namun mempersoal pembelaan daripada kerajaan terhadap penduduk yang terjejas.

"Walaupun sesetengah penduduk disekitar bakun itu telah dipindahkan tetapi masih ada lagi segelintir keluarga yang masih tinggal disana dan sebagai sebuah kerajaan yang mengatakan sentiasa perihatin dengan permasalah rakyat perlu tampil serta menyediakan kemudahan asas yang sewajarnya kepada mereka.

"Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah menyatakan komuniti di bakun ini mempunyai hak dan akan mengambil tahu keperluan komuniti tersebut tetapi sehingga sekarang apa yang dijanjikan itu tidak pernah ditunaikan, kita mahu Najib menunaikan janji yang beliau nyatakan itu," kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua..

Selain beliau, sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Turut serta adalah lima wakil orang asal yang menjadi magsa projek tersebut.

Tambah Tian lagi, Pakatan Rakyat akan tetap memberi sokongan dan akan mengetengahkan permasalahan tersebut ke parlimen agar rakyat diluar tahu bahawa komuniti orang asal Sarawak yang masih tinggal di Bakun terus terabai kerana keengganan kerajaan membantu golongan tersebut.

Malah ujarnya tiada satu pun kemudahan disediakan oleh kerajaan disana seperti klinik mahupun sekolah.

"Kita ingin tahu kemana perginya peruntukkan yang berjuta-juta ringgit yang diumumkan oleh Najib iaitu RM62 juta bagi kemudahan jalan dan juga RM46 juta menyediakan klinik," sambung Naib Presiden Keadilan itu lagi.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad memberitahu isu Bakun ini sudah lama dibangkitkan namun sehingga sekarang masih belum selesai sama ada dari segi penempatan mahupun soal keselamatan.

"Kegagalan projek empangan bakun ini dilihat gagal dari sudut pembinaan, keselamatan mahupun alam sekitar dan ia telah dimaklumkan di dalam laporan Enviromental Impact Analysis (EIA) yang mana ia dilihat sebagai bom jangka kepada seluruh rakyat Sarawak.

"Kerajaan perlu tampil kedepan dalam soalan permasalahan tersebut agar mereka yang masih tinggal dikawasan tersebut terus terbela dari segi kemudahan serta memastikan empangan tersebut selamat digunakan sepenuhnya," usul Dr Dzulkefly.

Semalam Mahkamah Persekutuan yang dianggotai tiga panel orang hakim, dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi, membuat keputusan sebulat suara untuk mengenepikan kes yang dikemukakan itu.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Sarawak pada 26 April 2008 mengetepikan permohonan saman Orang Asal berkenaan dan keputusan itu kemudiannya dikekalkan di Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Tiada ulasan: