Selasa, 13 September 2011

Bajet 2012: Dr M harap Najib jaga hati ‘orang Melayu dan bukan Melayu’


KUALA LUMPUR — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Bajet 2012 yang akan dibentangkan bulan depan akan menangani rasa tidak puas hati di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu yang dirasakan agak ketara sejak kebelakangan ini.

Jelas beliau, rasa tidak puas hati yang membawa kepada pelbagai tuntutan itu berpunca daripada tanggapan dan tafsiran berbeza yang dibuat terhadap konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh pentadbiran Najib.

Najib yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini.

Dr Mahathir (gambar) berkata demikian dalam satu wawancara bersama Astro Awani. Bahagian ini disiarkan hari ini.

“Sekarang ini orang Melayu anggap kata layanan diberi kepada orang Cina dan mereka tak ada apa-apa. Saya harap Bajet (2012) akan datang ini, kerajaan imbangi layanan kepada orang Cina, layanan kepada orang Melayu.

“Dengan itu barulah akan hilang sedikit sebanyak perasaan marah mereka terhadap kerajaan kerana masing-masing anggap kerajaan berat sebelah,” kata beliau.

Jelas Dr Mahathir, salah tafsir terhadap konsep 1 Malaysia menyebabkan orang Melayu misalnya merasakan perlunya ada sekolah satu aliran manakala orang bukan Melayu mahu hak Bumiputera dihapuskan.

“Jadi dengan itu sukar bagi kita untuk memikir bahawa hanya dengan slogan itu saja maka akan berlakulah perpaduan,” kata beliau lagi.

Dr Mahathir sebelum ini pernah meminta pentadbiran kerajaan memberikan penjelasan mengenai konsep 1 Malaysia, yang diperkenalkan oleh Najib sejak menjadi perdana menteri yang keenam.

Menjelang Bajet 2012, Dr Mahathir berharap Najib akan memenuhi harapan orang Melayu dan bukan Melayu.

“Saya harap Datuk Seri Najib sedar bahawa orang Melayu rasa terkilan, rasa mereka dianaktirikan dan dia perlu menentukan bahawa dia tidak menganaktirikan orang Melayu sementara dia juga menjaga kepentingan orang bukan Melayu,” kata beliau yang turut pernah memegang jawatan menteri kewangan ketika menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri pada Oktober 2003.

Bajet 2012 adalah yang ketiga bagi Najib sejak menjadi perdana menteri pada April 2009.

Tiada ulasan: