Ahad, 11 September 2011

AWER: Cadangan penswastaan Indah Water melanggar Akta Industri Perkhidmatan Air 2006

Piarapakaran.S


Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) membantah cadangan penswastaan Indah Water Consortium (IWK) oleh 1MDB (1 MalaysiaDevelopment Berhad) kerana ia memudaratkan keadilan sosial dan ekonomi serta tidak sehaluan dengan undang-undang di Malaysia.

Perkhidmatan air dibahagikan kepada perawatan air, bekalan air dan perkhidmatan pembentungan. Akta IndustriPerkhidmatan Air 2006 (WSIA) adalah undang-undang yang mengawalselia semua perkhidmatan air dari segi teknikal, ekonomi dan kualiti perkhidmatan bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Undang-undang ini mula dikuatkuasakan pada tahun 2008.

Objektif utama WSIA adalah untuk mengelakkan SEBARANG JENISPERJANJIAN KONSESI serta operator-operator perkhidmatan air dan perkhidmatan pembentungan dikehendaki untuk bermigrasi ke rejim pelesenan di mana mereka akan dipantau dengan ketat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Undang-undang ini ingin juga mencapai imbangan di antara keperluan ekonomi dan sosial dalam pengurusan perkhidmatan air supaya ia mempunyai kos yang berpatutan dan setaraf dengan standard antarabangsa. Ini akan memastikan penetapan tarif yang SAKSAMA dan pengurusan yang TELUS untuk keseluruhan perkhidmatan air.

Berdasarkan beberapa laporan akhbar tempatan, 1MDB dengan beberapa ahli perniagaan yang tidak bertanggungjawab yang berada di sebalik perancangan ini telah mengelirukan rakyat dan melanggarWSIA.

Penyelesaian-penyelesaian yang dikatakan oleh kumpulan ini adalah sama dengan langkah-langkah yang telahpun dicadangkan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan masih menanti persetujuan Kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun yang lalu. Cadangan-cadangan ini bukanlah sesuatu yang baru. Pengurusan IWK sekarang tersepit disebabkan KEGAGALAN PENSWASTAAN sebelum ini. Maka, penswastaan semula menggunakan konsesi seperti yang dicadangkan oleh 1MDB merupakan satu penyelesaian yang salah dan tidak mempunyai ruang di sisi undang-undang selepas WSIA dikuatkuasakan sejak tahun 2008.

Kini, SPAN telahpun menghentikan IWK daripada monopoli pe-nyahenapan kumbahan (desludging) bagi sistem pembentungantidak bersambung dan membuka lesen kepada syarikat-syarikat yang lain. Bagi sistem pembentungan bersambung (yang dibil oleh IWK atau Kerajaan Tempatan),terdapat beberapa rancangan untuk pembangunan sama seperti sektor perawatan dan bekalan air. Hala tuju untuk perkhidmatan pembentungan adalah juga melalui rejim pelesenan. TIADA LAGI PERJANJIAN KONSESI.

Jika mana-mana pihak berkuasa meluluskan cadangan 1MDB ini, AWER tidak akan teragak-agak untuk mengheret mereka ke mahkamah. Berhenti menggunakan cara-cara jahil untuk mendapatkan perniagaan. Apa-apa pelaksanaan yang tidak sehaluan dengan WSIA adalah satu kesalahan.

*Kenyataan media oleh Piarapakaran.S (gambar kiri) selaku Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Tiada ulasan: