SABAH: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata terdapat pengundi hantu di kawasan parlimen Permatang Pauh yang disawakili beliau.
Beliau memberi contoh 83 pengundi berdaftar di bawah satu alamat kediaman yang sebenarnya hanya menempatkan empat penduduk di situ.
“Apabila KEADILAN mahu membantah penemuan (pengundi hantu), kami terpaksa membayar RM10 untuk mengesahkan setiap penama dan ini tidak masuk akal.
“Itulah sebabnya kita menekankan perkara pertama yang perlu diselesaikan segera oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ialah membersihkan daftar pemilih,” katanya pada sambutan Aidilfitri anjuran KEADILAN Sabah semalam.
Anwar berkata isu pertambahan kerusi di Sabah bukan isu pokok yang patut dibincangkan kerana isu paling mendesak kini ialah daftar pemilih yang diguna pakai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kekal diragui.
Anwar mengulas cadangan beberapa pimpinan BN Sabah yang mengusulkan pertambahan kerusi di negeri itu.
Namun, pada masa sama kurang memberikan perhatian terhadap isu pembersihan daftar pemilih yang kekal dimanipulasi SPR untuk memenangkan calon Umno BN setiap kali pilihan raya.
Pilihan Raya Umum (PRU) bakal berlangsung bila-bila masa dari sekarang dengan paling awal dijangkakan pada November ini atau sebelum Jun tahun depan.
Isu mengenai pengundi hantu dan pembersihan daftar pemilih menjadi isu utama yang diperjuangkan Pakatan Rakyat dan NGO seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Pada 9 Julai lalu, Bersih melancarkan perhimpunan aman menuntut SPR dan kerajaan melaksanakan pilihan raya yang adil dan bebas dengan mengemukakan lapan tuntutan, termasuk pembersihan daftar pemilih.
Selepas itu, semakin banyak kelemahan sistem daftar pemilih SPR dibongkar, termasuk keraguan yang ditimbulkan dalam sistem pengesahan laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Antaranya isu kewujudan pengundi yang berusia lebih 100 tahun, pengundi yang memegang status penduduk tetap (PR) tetapi layak mengundi dan isu pertindihan nama pengundi dalam laman SPR yang meragukan.
Beberapa bekas pegawai tentera turut tampil mengakui mereka memangkah undi pos bagi pihak ribuan anggota tentera dan isteri mereka untuk memenangkan Umno-BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan