Isnin, 12 September 2011

AMK: Jangan jadi tali barut penjajah British

Khairul Anuar Ahmad Zainuddin


Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyatakan pendirian berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Profesor Zainal Kling dalam Majlis Profesor Negara (MPN) bahawaTanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

AMK Malaysia berpandangan kenyataan yang dikeluarkan sebenarnya menambahkan kekeliruan dan kecelaruan fakta sejarah lebih lima dekad sejak negara Merdeka kepada generasi muda. Malahan kenyataan sedemikian dipertikaikan kerana tiada sokongan kajian dan ilmiah yang lebih tuntas dan mendalam daripada seluruh ilmuan negara dan rakyat Malaysia.

Jika negara tidak pernah dijajah,maka untuk apa Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan? Bagaimana pula kedudukan silibus pengajian pelajar-pelajar kita di sekolah dari semua peringkat yang mula keliru dengan perbahasan sejarah negara hari ini?

AMK Malaysia berpendirian bahawa kenyataan sedemikian tidak ubah seperti "tali barut suara penjajah British" sedangkan pada faktanya banyak kekayaan bumi Tanah Melayu seperti bijih timah, besi, emas, dan pertanian dikaut dengan rakusnya oleh penjajah British.

Malahan campurtangan penjajah British dalam sistem politik di Tanah Melayu menyebabkan suasana tidak tenteram di negeri-negeri Melayu ketika itu yang menyebabkan berlakunya banyak pertumpahan darah yang menyebabkan rakyat hidup tidak tenteram dan wujudnya pemerintahan "divide and rule" yang memberikan kesan kepada sistem sosial sehingga hari ini.

Jelas hasil campur tangan ini membawa kepada penjajahan sepenuhnya negeri-negeri Melayu di bawah penguasaan British dan pengambilan kuasa ini dibuat secara paksa kepada Raja-Raja Melayu dengan hanya mendapat janji-janji palsu dan pemberian pencen kecil yang diberikan oleh kerajaan British.

AMK Malaysia menghargai sumbangan dan pengorbanan besar pejuang-pejuang yang sanggup menggadai nyawa dan harta demi berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan total. Pengiktirafan ini kepada pejuang-pejuang yang sanggup bergolok gadai dan berani mengangkat senjata seperti Tok Janggut (Kelantan), Mat Kilau (Pahang), Tok Gajah (Pahang), Rentap (Sarawak), Rosli Dhobi (Sarawak), Datuk Maharajalela Pandak Alam (Perak), Mat Saleh (Sabah) dan pelbagai namalagi daripada tokoh ulamak-ulamak yang menyemarak semangat anti penjajahan yang merintis kemerdekaan negara.

Hakikatnya perjuangan mengangkat senjata yang dirintis oleh tokoh-tokoh pejuang dan ramai lagi pejuang yang namanya tidak didendang berjaya menghalau penjajah British daripada negara ini sehingga akhirnya Tanah Melayu bebas dan merdeka daripada penjajahan British.

Justeru, apa yang lebih penting rakyat dan generasi muda hari ini memberikan pengiktirafan besar kepada sumbangan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang yang menuntut kemerdekaan bukannya pihak UMNO-BN yang memberikan pengiktirafan kerana UMNO-BN mengambil sikap selektif dan tidak ikhlas dalam memberikan pengiktirafan kerana agenda sempit politik mereka sendiri.

AMK Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memugar sejarah perjuangan kemerdekaan total yang dirintis oleh pejuang-pejuang negara yang mengangkat senjata melawan penjajahan British sehingga ada yang dibuang negara, dibunuh,digantung serta dinafikan pelbagai hak demi memastikan bumi Tanah Melayu mendapat kebebasan dan hak kemerdekaan mutlak berhadapan dengan penjajah British yang mulai campurtangan dalam hal-ehwal Tanah Melayu sejak tahun1800-an.

AMK Malaysia berpandangan negara perlu mengorak pandangan masa hadapan ke mana halatuju negara khususnya di era globalisasi dan kegawatan ekonomi global yang bakal berlaku di masa hadapan. Apa ertinya kita berdebat dalam soal sejarah lepas, namun kita tidak menggarap dan mengambil pengajaran berharga bagi membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang bebas dan merdeka dalam erti kata sebenarnya dan tidak menjadi boneka kuasa-kuasa asing dalam percaturan politik antarabangsa.

*Kenyataan media oleh Khairul Anuar Ahmad Zainuddin (gambar kanan) selaku Timbalan Ketua AMK Malaysia.

Tiada ulasan: