Selasa, 3 November 2009

Pelajar mangsa gempa boleh sambung pengajian di IPTS

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pelajar di dua universiti di Padang, Indonesia yang mengambil keputusan tidak menyambung pengajian di negara itu berikutan gempa bumi di daerah itu pada 30 September lalu, boleh meneruskan pengajian di lapan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata, pihaknya sudah menjalankan proses temu duga kepada pelajar terbabit bagi membolehkan mereka meneruskan pengajian di lapan IPTS berkenaan.

Beliau berkata, kebanyakan mereka pelajar tahun pertama dan kedua dari Universitas Andalas itu akan ditempatkan di Universiti Pengurusan Sains (MSU), Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), University College Sedaya Antarabangsa (UCSI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Kita juga akan menempatkan seramai 22 pelajar aliran agama dari Universitas Islam Imam Bonjol ke Kolej Universiti Insaniah. Proses temu duga sudah dilakukan dan keputusannya hanya akan diketahui pada 9 November ini dan semua pelajar boleh meneruskan pengajian masing-masing selepas tarikh berkenaan.

“Pelajar juga tidak perlu bimbang dengan pembiayaan kerana mereka layak menerima pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya tahu, sebelum ini ada di kalangan pelajar bimbang meneruskan pengajian di sini disebabkan masalah kewangan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, kira-kira 20 peratus daripada 169 pelajar yang menuntut di dua universiti di Padang, Indonesia masih belum membuat keputusan muktamad berhubung pengajian mereka setakat ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, semua pelajar terbabit masih keliru dan trauma berikutan bencana itu sehingga belum memutuskan sama ada akan kembali meneruskan pengajian semula di Padang atau menyambung di negara asal.

Prof Radin berkata, pelajar tahun 4,5 dan 6 di universiti berkenaan sudah kembali semula ke Padang untuk meneruskan pengajian masing-masing termasuk menjalani latihan praktikal bagi mengelakkan pengajian terganggu.

Tiada ulasan: