Khamis, 11 Disember 2008

Unisel lantik 4 Timbalan Naib Canselor baru

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat telah bertindak merombak pengurusan Universiti Industri Selangor (Unisel) dengan melantik Timbalan-Timbalan Naib Canselor yang baru.

Perkara ini telah diberitahu oleh Menteri Besar, Tan Sri Dato' Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mengadakan satu mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Turut hadir dalam sidang media yang diadakan di aras 20, bangunan Sultan Abdul Samad ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

"Perkara ini diputuskan selepas satu mesyuarat dengan Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang menguruskan Unisel, Pendidikan Industri YS Sdn Bhd (PIYS) pada 9 Disember lalu.

Kerajaan negeri memutuskan untuk melantik empat Timbalan Naib Canselor baru iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik, Profesor Dr Anuar Ahmad. Timbalan Naib Canselor Perancangan Strategik dan Pembangunan, Profesor Dr Ir Muhammad Daud dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Zainal Abidin Kidam," katanya.

Manakala Profesor Dr Khalifah Othman yang akan menamatkan tugas sebagai pemangku Naib Canselor Unisel pada 15 Disember ini pula akan dilantik menjadi sebagai Dekan Sekolah Pasca Ijazah Pengurusan.

Beliau menegaskan, perlantikan mereka dibuat setelah mengambil kira kelayakan dan pengalaman akademik, pengurusan dan pentadbiran, gaya kepimpinan, keperibadian dan profesionalism serta pengiktirafan tempatan dan antarabangsa.

"Mereka akan memulakan tugas secara rasmi pada 16 Disember ini dan diberi kontrak selama tiga tahun," tegas beliau lagi.

Dalam sidang media itu juga Menteri Besar Selangor itu ditanya oleh pemberita, adakah Kerajaan Negeri sudah ada calon untuk menjawat jawatan sebagai Naib Canselor Unisel.

"Sukacita dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah juga telah mengenal pasti calon yang berkelayakan untuk memegang jawatan Naib Canselor Unisel.

"Pengumuman rasmi perlantikan akan dibuat dalam tahun depan," kata Abdul Khalid._

Tiada ulasan: