Rabu, 10 Disember 2008

PRK Kuala Terengganu peluang PAS rampas kerusi

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh mengingatkan seluruh pengundi di Parlimen Kuala Terengganu tidak teragak-agak untuk membuat perubahan dalam pilihan raya kecil nanti.

Menurut beliau, tarikh itu merupakan peluang kepada pengundi Kuala Terengganu untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat khasnya PASmembawa mandat rakyat ke Parlimen.

Beliau berharap pengundi Kuala Terengganu akan memberikan undi atau sokongan kepada calon PAS memandangkan lima buah negeri telah dikuasai Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum, 8 Mac lalu.

"Saya berharap jentera PAS di semua peringkat sudah bersedia untuk memberi kemenangan kepada calon PAS," katanya ketika ditemui di Markas Taman Melewar.

Beliau mengingatkan semua jentera PAS perlu menyemak daftar pemilih dan mohon kepada Allah agar diberi kekuatan dan kemenangan kepada calon PAS.

Sementara itu Ketua Dewan Muslimat PAS Terengganu, Ustazah Fatimah @Zainab Ibrahim yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh jentera PAS dalam pilihan raya lalu akan memberi kemenangan kepada PAS.

Pilihan raya kecil ini merupakan cabaran kepada jentera PAS bagi memastikan kerusi Parlimen dimiliki oleh calon PAS, tegas beliau.

Ketika ditanya tentang kehadiran pengundi hantu katanya, jentera PAS tidak berasa takut sebaliknya lebih bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.

"Jentera PAS perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimiliki semula oleh PAS," katanya.

Beliau berharap semua pengundi yang berada di luar Kuala Terengganu dapat pulang pada hari mengundi untuk menjalankan tanggungjawab menentukan pemimpin.

Kerusi Parlimen kosong setelah ahli Parlimen yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Hingland kira-kira 6.30 pagi.

Dalam pilihan raya umum 2008, Almarhum mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dan Maimun Yusuf (Bebas) dengan majoriti 628 undi.

Razali memperolehi 32,562 undi manakala Mohamad Sabu mendapat 31,934 undi dan calon Bebas hanya mendapat 685 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, 8 Mac lalu, terdapat 1,357 undi pos bagi Parlimen Kuala Terengganu dan 1,089 dikira sebagai undi manakala 157 ditolak.

Daripada 1,089 kertas undi pos yang dikira, 999 undi memihak kepada calon BN. _

Tiada ulasan: