Ahad, 7 Disember 2008

4 disah maut satu dicari, tragedi tanah runtuh 'hantui' Hulu Klang

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD MUTALIB
[DIKEMAS KINI, 11 malam]

Operasi cari mangsa diteruskan sepanjang malam, 14 banglo tertimbus

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang dekat sini - kedua paling buruk sejak 1993 -mengorbankan empat orang manakala seorang lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam rumah-rumah yang tertimbus.

Mayat keempat ditemui pukul 7.40 petang tadi iaitu seorang wanita Indonesia bernama Surina, 30.

Dia merupakan penghuni rumah bernombor 15.

"Dengan penemuan mayat ini, melalui maklumat yang kita peroleh ada satu lagi mangsa yang hilang," kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Bagaimanapun polis tidak menolak kemungkinan ada pihak yang melalui kawasan itu ketika kejadian turut terperangkap.

"Kami akan meneruskan operasi sehingga dapat memastikan tiada lagi mangsa dalam timbunan tanah runtuh," kata beliau pada sidang akhbar pukul 9 malam tadi.

Kata beliau, mangsa yang masih tertimbus merupakan seorang lelaki.

"Kita telah mengenap pasti kawasan mangsa (berada) dan kerja-kerja mencari sedang dilakukan di kawasan itu," katanya lagi.

Ketika ditemui wartawan kira-kira pukul 11 malam tadi, Khalid berkata, usaha mengesan mangsa itu diteruskan sepanjang malam.

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu telah menimbuskan 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama.

MANGSA TERKORBAN

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Shaiful Khas Datuk Shahrudin, 20, Dr N. Yogeswari, 40 dan Eng Yee Peng, 30.Khalid berkata pasukan mencari dan menyelamat sedang mengenal pasti kedudukan keduadua mangsa, iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai masih terperangkap.

"Ada rumah yang roboh sepenuhnya dan ada hanya sebahagian roboh," katanya yang berada di tempat kejadian.

Petang ini pasukan mencari dan menyelamat mula menggunakan jengkaut untuk mengesan mangsa yang tertimbus itu memandangkan kejadian telah berlaku lebih 12 jam.

Khalid berkata, pasukan mencari dan menyelamat akan menggunakan kepakaran untuk memastikan mangsa tertimbus tidak tercedera apabila jengkaut digunakan.

OPERASI 24 JAM

Operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan selama 24 jam tanpa henti walaupun hujan.

"Tetapi jika hujan terlalu lebat hingga membahayakan pasukan mencari dan menyelamat, operasi akan dihentikan sementara waktu," katanya.

Beliau berkata, terdapat 14 pasukan penyelamat di lokasi dan mereka akan turut membuat dua laluan alternatif supaya penghuni yang tinggal di kawasan berhampiran boleh keluar.

"Mereka yang diarahkan pindah dari kawasan kejadian akan ditempatkan di pusat sementara di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang. Mereka dibenarkan pulang ke rumah masingmasing setelah mendapat pengesahan Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) jika kawasan itu selamat," katanya.

TANAH BERGERAK

Khalid berkata, masalah yang dihadapi sekarang adalah keadaan tanah yang masih bergerak dan tidak stabil apabila usaha mengorek tanah dijalankan.

Kawasan runtuhan itu meliputi empat hektar dengan lingkungan satu kilometer meliputi kawasan sekitarnya, katanya.

Sebelum itu, beliau melaporkan 93 orang mangsa kejadian tanah runtuh itu berjaya menyelamatkan diri.

Khalid berkata, polis telah menasihati antara 3,000 dan 5,000 penduduk di situ agar meninggalkan rumah mereka, yang kebanyakannya berupa apartmen.

14 DIRAWAT HKL

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Kuala Lumpur (HKL) Zaiton Abu Bakar berkata 14 mangsa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di hospital itu.

Mangsa yang mengalami kecederaan menerima rawatan awal di surau Addinniah di Bukit Antarabangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan dengan menggunakan tidak kurang daripada 12 ambulans.

Banglo yang tertimbus itu melibatkan lapan unit banglo di Taman Bukit Utama dan enam unit di Taman Bukit Mewah, demikian menurut jurucakap bomba dan penyelamat yang berada di tempat kejadian.

Salah sebuah banglo terlibat ialah milik Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.Mohamed Thajudeen sekeluarga bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri.

Menurut bomba dan penyelamat, tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah.

Pihak tentera, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Bomba dan Penyelamat dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sedang giat menjalankan kerja menyelamat.

LALUAN TERHALANG

Kejadian tanah runtuh itu mengakibatkan jalan utama ke kawasan perumahan terbabit terputus dan beratusratus orang terperangkap di Bukit Antarabangsa.

Mereka yang terperangkap dan juga pasukan penyelamat terpaksa menggunakan Jalan Wangsa 9 sebagai jalan alternatif memandangkan jalan utama ke kawasan itu tidak dapat dilalui.

Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali yang melawat tempat kejadian berkata, pergerakan tanah masih berlaku dan bekalan elektrik di beberapa kawasan perumahan di Bukit Antarabangsa terputus.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut melawat tempat kejadian.Tanah runtuh hari ini berlaku kira-kira 1.5km dari tempat berlaku runtuhan tiga blok 12 tingkat apartmen Highland Towers pada 11 Disember 1993, mengorbankan 48 orang.

Tanah runtuh di Bukit Antarabangsa juga yang ketiga berlaku di Lembah Klang dalam masa seminggu.

Pada 30 November, dua beradik Noratirah Roslan, 16, dan Nurul Intan Sarina, 9, terbunuh dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa banglo kediaman mereka di Ulu Yam Perdana, Gombak.

Khamis lepas, tanah runtuh di Jalan Semantan meranapkan dinding konkrit kawasan meletak kenderaan yang terletak antara dua bangunan, mengakibatkan enam kereta tertimbus selain merosakkan lima lagi kenderaan.

Kesemua kejadian tanah runtuh ini dipercayai berpunca daripada pergerakan air bawah tanah, dan keadaan itu diburukkan lagi oleh hujan lebat sejak beberapa minggu lepas.

Tiada ulasan: