Rabu, 10 Disember 2008

1 bilion penduduk kelaparan

Laporan AP


ROM - Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia, Hafez Ghanem berkata, harga makanan yang melambung tinggi telah menyebabkan bilangan penduduk dunia yang kelaparan mencecah hampir satu bilion orang.

Beliau berkata, pada tahun ini sahaja, jumlah mereka yang dikategorikan sebagai kelaparan meningkat sehingga 40 juta, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah lebih 963 juta orang.

"Seramai empat juta orang di negara-negara membangun hanya makan pada kadar paling minimum setiap hari.

"Keadaan itu menjadikan gaya hidup sihat hanya satu impian kepada mereka," katanya dalam satu laporan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian merupakan sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di sini.

Menurut Hafez, sungguhpun harga kebanyakan bijirin utama telah jatuh lebih 50 peratus awal tahun ini, tetapi ia masih lagi mahal berbanding kadar beberapa tahun sebelumnya.

Keadaan itu katanya, menjadikan penduduk dunia khususnya golongan ibu tunggal dan mereka yang tidak mempunyai tanah berdepan dengan masalah berikutan kenaikan harga makanan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh pertubuhan itu, hampir dua pertiga daripada penduduk dunia yang berdepan dengan kelaparan tinggal di Asia.

Sementara di benua Afrika pula, seorang daripada tiga orang penduduknya berdepan masalah kelaparan yang kronik.

Sehubungan itu, pertubuhan tersebut memberi amaran, penurunan permintaan dari negara maju disebabkan krisis kewangan global, boleh mengancam hasil eksport di kalangan negara membangun.

Selain itu, negara membangun turut berdepan dengan ancaman kekurangan aliran tunai, pelaburan dan bantuan pembangunan.

Tiada ulasan: