Khamis, 13 November 2008

Politik wang dalam perebutan Timbalan Presiden Umno

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan gejala politik wang juga wujud bagi jawatan Timbalan Presiden dengan mengambil kira keputusan proses pencalonan apabila persidangan perwakilan bahagian berakhir 9 November lalu.

"Kerana mereka yang berada di tempat paling bawah di minggu pertama (pencalonan), tiba-tiba naik ke atas," katanya.

Beliau juga mencadangkan Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) yang semakin dikecam dam ditolak rakyat digunakan ke atas ahli-ahli Umno yang rasuah.

"Itu cara yang terbaik menggunakan ISA, bukan ke atas beberapa penulis yang menulis perkara-perkara karut-marut," katanya.

Bekas Presiden Umno itu juga mengakui, seluruh negara mengetahui bahawa pemimpin-pemimpin Umno, walaupun bukannya semua, mengamalkan politik wang ketika pemilihan parti.

Walaupun mereka yang mengamalkan politik wang boleh menjadi pemimpin, tetapi Dr Mahathir menjangka mereka tidak mungkin dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya.

Bagaimanapun jelas Dr. Mahathir, menghapuskan sistem kuota bukan cara untuk mengatasi politik wang.

Minggu lalu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menyifatkan gejala politik wang sebagai paling serius.

Beliau meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.

Ketika diminta mengulas lanjut mengenai perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno, Dr. Mahathir berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan calon terbaik bagi jawatan.

Selain Muhyiddin yang juga Naib Presiden, turut layak bertanding jawatan tersebut ialah seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Pencalonan untuk Muhyiddin sebelum ini jauh meninggalkan Ali dan Muhammad.

Bernama sebelum ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan calon-calon lain untuk jawatan Timbalan Presiden Umno selain Muhyiddin sebagai "pak lawak".

Mengenai orang yang berkemungkinan menjadi timbalan Datuk Seri Najib Razak, Dr Mahathir berkata, ia sepatutnya Muhyiddin dan pesaing lain yang ada sekarang bagi mengisi jawatan Timbalan Presiden Umno hanyalah 'pak lawak' semata-mata._

Tiada ulasan: