Ahad, 2 November 2008

Kecoh demi kecoh dalam mesyuarat Umno

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Kekecohan demi kekecohan terus melanda mesyuarat umno di bahagian-bahagian termasuk kejadian pukul-memukul dan membaling kerusi sebelum ini.

Semalam, mesyuarat Umno bahagian Rantau Panjang pula kecoh apabila beberapa perwakilan mengemukakan usul supaya Majlis Tertinggi (MT) parti tidak mengiktiraf kepemimpinan baru bahagian itu yang didakwa mereka punca bekas ketua Umno bahagian itu digantung keahlian.

Ada perwakilan turut mengusulkan supaya undi tidak percaya dibuat terhadap Ketua Umno bahagian yang baru, Abdullah Mat Yassin, selain mencadangkan mesyuarat semula peringkat cawangan diadakan bagi membolehkan akar umbi memilih kepemimpinan yang mereka mahu.

Pada mesyuarat lebih lapan jam itu, seorang perwakilan mencadangkan undi tidak percaya dikemukakan terhadap kepemimpinan Abdullah yang dakwanya menjadi punca penggantungan tiga tahun bekas Ketua Bahagian, Datuk Mohd Zain Ismail.

Mohd Zain dan tiga pemimpin Umno bahagian itu digantung selama tiga tahun kerana mensabotaj parti pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Mereka menganggap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin Umno sebagai keterlaluan kerana tidak memberikan peluang yang adil kepada mereka mempertahankan diri.

Sebelum ini, mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno bahagian itu juga kecoh sehingga Unit Tindakan Ringan (LSF) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas terpaksa dipanggil untuk menenangkan keadaan daripada menjadi lebih serius.

Malah, ahli-ahli Umno Kubang Kerian dan Rantau Panjang mengadakan tunjuk perasaan dan perarakan demi perarakan ke pejabat Perhubungan Umno Kelantan untuk menyatakan bantahan mereka.

Kekecohan juga berlaku dalam mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah dan Pulai.

Di Kota Tinggi, perkataan 'tongong' dan 'bangang' menjadi senjata kemarahan dalam pergaduhan mesyuarat agung Umno bahagian itu baru-baru ini.

Kekecohan berlanjutan sehingga 40 minit apabila apabila beberapa perwakilan mempersoalkan keputusan penggantungan keahlian tiga tahun terhadap beberapa orang pemimpin peringkat bahagian itu baru-baru ini.

Kekecohan itu berlaku sebelum mesyuarat dimulakan dengan rasmi, sebaik ketua bahagian itu Datuk Seri Syed Hamid Albar selesai memberikan ucapan perasmian.

Kata-kata kasar digunakan oleh golongan yang berbeza pendapat sehingga memaksa Syed Hamid naik semula ke pentas merayu agar perwakilan tidak menggunakan apa yang dipanggilnya undang-undang hutan.

Mesyuarat perwakilan bahagian itu memang dijangkakan panas berikutan ketidakpuasan hati sebahagian perwakilan terhadap keputusan penggantungan keahlian beberapa pemimpin bahagian setelah disabitkan dengan rasuah politik oleh lembaga disiplin Umno.

Syed Hamid kalah dalam pencalonan ketua bahagian dari 46 cawangan-cawangan di Kota Tinggi tetapi telah diselamatkan oleh keputusan penggantungan keahlian beberapa pemimpin bahagian setelah disabitkan dengan rasuah politik oleh lembaga disiplin Umno sekaligus mengesahkan beliau menang tanpa bertanding.

Pencabar beliau yang meraih lebih banyak pencalonan, Daing A.Malik Daing A.Rahman ternyata lebih berpengaruh dari Syed Hamid.

Bagaimanapun, bekas naib ketua bahagian itu digantung keahlian selama tiga tahun bersama penyokong-penyokong beliau kerana didakwa terlibat dalam rasuah politik.

Sebahagian besar ahli-ahli Umno di bahagian itu didakwa terkilan dan serik dengan Syed Hamid yang didakwa menafikan hak, bantuan dan upah kepada mereka dalam kempen pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Sebelum itu, polis menerima beberapa laporan pergaduhan termasuk kejadian membaling kerusi dalam beberapa mesyuarat-mesyuarat agung Umno cawangan Umno di bahagian itu dan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan kejadian pergaduhan itu berkata, polis sedang menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Sebelum ini, mesyuarat Umno Pemuda Bahagian Rantau Panjang terpaksa dihadiri oleh Pasukan Unit Anti Rusuhan yang lengkap berpakaian perisai manusia apabila mesyuarat berkenaan kecoh.

Wanita dan Puteri Umno juga tidak kurang hebatnya apabila persidangan Wanita Umno Bahagian di Kuala Selangor kecoh dengan insiden baling kerusi dan tindakan keluar dewan oleh beberapa perwakilan cawangan.

Di Bukit Bintang, perwakilan dilaporkan menjerit-jerit menuntut penjelasan dalam mesyuarat Puteri Umno bahagian itu. sayap dalam parti itu.

Di Ipoh, seorang ahli jawatankuasa Umno cawangan Pernas Charter Management (PCM) dalam bahagian Gopeng cedera di kedua-dua kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian itu._

Tiada ulasan: