Isnin, 15 September 2008

RM315j Geran Bantuan Jentera petani
Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


MACHANG . - Kerajaan memperuntukan sebanyak RM315 juta melalui program Geran Bantuan Jentera kepada petani di seluruh negara sebagai usaha meningkatkan hasil padi negara menjelang 2010.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, melalui program itu yang bermula tahun ini, pengeluaran padi negara disasarkan meningkat sehingga 86 peratus pada 2010 berbanding hanya 70 peratus pada masa ini.

Menurut beliau, selain mengurangkan pergantungan import beras dari luar negara, ia juga mampu menjamin sumber makanan negara dan menambahkan pendapatan petani.

"Melalui program ini kerajaan akan memberi bantuan kewangan separuh daripada harga jentera dan peralatan kecil pertanian yang diberikan kepada petani.

"Sebagai contoh jika harga jentera pembajak atau dikenali dengan nama 'kerbau besi' ialah RM5,000, yang bermakna kerajaan akan memberi bantuan sebanyak RM2,500," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian jentera dan peralatan kecil pertanian kepada petani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Machang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 108 petani menerima geran itu daripada keseluruhan 707 petani di PPK lain di negeri ini yang akan diberikan bantuan itu secara berperingkat.

Mustapa berkata, bantuan itu secara langsung akan menggalakkan petani untuk mengusahakan semula tanah sawah terbiar di seluruh negara.

"Saya sedar antara punca utama tanah terbiar ialah kerana petani tidak mampu menanggung kos membajak dan membaja, jadi apabila kita berikan bantuan ini kita mahu mereka manfaatkan sebaik mungkin.

"Agensi-agensi kementerian akan memantau dan membimbing petani ini bagi memastikan bantuan yang merupakan amanah rakyat ini digunakan sebaik mungkin," katanya.

Mustapa berkata, program Geran Bantuan Jentera itu terbahagi kepada dua komponen utama iaitu bantuan pemadanan jentera kecil dan pembelian jentera besar yang akan ditempatkan di kawasan PPK dan agensi pertanian yang strategik di seluruh negara.

Katanya, bagi bantuan pemadanan jentera kecil, kementerian memperuntukkan sebanyak RM13 juta di seluruh negara bagi fasa 1 iaitu untuk tahun ini.

"Kelantan antara negeri yang mendapat peruntukan terbanyak iaitu RM2.8 juta daripada keseluruhan jumlah berkenaan,'' katanya.

Menurutnya, bantuan pemadanan yang diberikan ini adalah percuma tanpa perlu petani membayar balik.

''Kita ikhlas untuk membantu petani, itulah sebabnya semua dapat tanpa mengira perbezaan fahaman politik,'' kata beliau.

Tiada ulasan: