Rabu, 3 September 2008

Mahkamah arah Shafee lantik peguam
Malaysiakini


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah melantik peguam bagi mewakilinya dalam pendengaran permohonan injunksi inter parte terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamaruddin pada 8 Oktober depan.

Hakim Datuk Tee Ah Sing mengeluarkan perintah itu di dalam kamar selepas mendengar bantahan awal peguam yang mewakili Raja Petra, Manjeet Singh Dhillon, yang berhujah bahawa seorang peguambela dan peguamcara tidak boleh mewakili dalam mana-mana perkara yang beliau secara langsung mempunyai kepentingan.

Manjeet Singh memberitahu pemberita bahawa Peraturan Profesion Undang-undang (Amalan dan Etika) 1978 dengan jelas menyatakan seorang peguambela dan peguamcara tidak boleh mewakili dalam mana-mana kes di mahkamah jika beliau mempunyai sebab untuk mempercayai yang beliau akan menjadi saksi dalam perbicaraan itu, demikian menurut laporan Bernama

Shafee pula berkata, beliau akan melantik peguam untuk mewakilinya dan menambah kata injunksi ex-parte yang diperoleh beliau terhadap Raja Petra pada 13 Ogos untuk mengeluarkan tiga artikel yang disiarkan dalam lamanweb penulis itu "Malaysia Today" tamat hari ini.

Beliau juga memperoleh injunksi untuk melarang penulis blog itu daripada menerbitkan artikel serupa yang memfitnah dirinya dalam lamanweb itu.

Shafee telah memperoleh banyak perintah termasuk satu daripadanya yang memerintahkan Raja Petra mendedahkan sumber bagi maklumat dalam tiga artikel yang disiarkan pada 6, 7 dan 11 Ogos.

Shafee menyaman Raja Petra bagi memfitnah, mendakwa penulis blog itu telah mereka-reka cerita dan menjalankan propaganda politik untuk mengelirukan orang
ramai berhubung isu-isu politik.

Raja Petra juga diwakili peguam J. Chandra dan Amarjit Singh Sidhu

Tiada ulasan: