Selasa, 9 September 2008

Bekerja cara terbaik atasi masalah – MB
Irwan Muhammad Zain


KLANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata membuat kerja adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah rakyat bukannya menunjukkan muka tanda sudah turun padang.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas dakwaan yang beliau tidak turun padang menjenguk mangsa ribut di sekitar Selat Klang dan Rantau Panjang awal Ramadan lalu.

"Kita membuat kerja untuk menyelesaikan masalah bukan sekadar tunjuk-tunjuk muka," kata beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa sumbangan yang diberikan kepada rakyat tidak seharusnya dinilai berapa wang yang telah digunakan.

"Buat kerja lebih baik daripada hanya banyak bercakap," kata beliau.

Abdul Khalid menjelaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Dr Halimah Ali sangat aktif membantu dan tidak memerlukan beliau untuk hadir selepas kejadian tersebut.

"Kami berhubung melalui telefon bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa kemudiannya saya hantar tukang rumah dan lain-lain untuk membantu penduduk," kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa mereka yang berada dalam kecemasan tidak memerlukan sokongan moral sebaliknya bantuan lain yang lebih diperlukan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa kejadian ribut di Dewan Orang Ramai Teluk Pulai 6 September lalu.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Dr Halimah Kehadiran beliau pada hari tersebut sekaligus menafikan andaian sesetengah pihak yang Abdul Khalid tidak prihatin dengan nasib mangsa.

Kejadian ribut yang berlaku 1 September lalu menjejaskan kediaman 1,107 penduduk di Selat Klang dan hampir 500 penduduk di Rantau Panjang. - mks._

Tiada ulasan: