ULASAN | Sidang Dewan Rakyat yang
sedang berlangsung sejak 15 Oktober lalu dan dijadual berakhir 11
Disember ini tentulah sangat penting diberikan perhatian. Ini kerana ia
sedang membincangkan tentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia
ke-11 (KSP RMK-11) dan diikuti dengan pembentangan Belanjawan 2019.
KSP
RMK-11 adalah dokumen dasar pertama yang dibentangkan Perdana Menteri
Tun Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat sejak peralihan kerajaan pada 9
Mei 2018 yang begitu bersejarah.
Bagaimanapun KSP RMK-11 tentulah
tidak menyediakan ruang terlalu besar untuk kerajaan baru mencorak
seluruh perancangan baru kerana dalam banyak keadaan ia melibatkan
perancangan sejak tahun 2016 dan prestasi yang telah dicapai setakat
ini.
Dalam KSP RMK-11 kita dapat melihat bagaimana tidak semua
perkara yang dirancang oleh kerajaan terdahulu dapat dicapai. Jelas di
sini meskipun kerajaan memiliki pelbagai sumber dan kuasa, tidak semua
perkara yang dirancang boleh dilaksanakan atau dilaksanakan dengan
sempurna, kerana sifat dasar awam yang terdedah kepada pelbagai
pembolehubah, terutama berkaitan kewangan.
Namun, ini bukan alasan untuk Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak melaksanakan manifestonya.
Saya
berasa gembira kerana dalam tempoh singkat selepas peralihan kerajaan,
kita dapat melihat banyak agenda yang digariskan dalam manifesto HARAPAN
dan juga Matlamat Pembangunan Mampan.
Sekurang-kurangnya ia boleh
menjadi panduan umum dan kasar tentang hala tuju negara dalam tempoh
dua tahun akan datang. Selepas itu, kita akan berpeluang melihat
Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), dokumen yang bakal dirangka
sepenuhnya oleh kerajaan baru.
Meskipun
banyak kritikan dan tekanan terhadap kerajaan baru, setakat ini kita
percaya rakyat masih sedia memberi sokongan melalui siri keputusan
pilihan raya kecil yang berlangsung.
Justeru itu, HARAPAN mesti yakin untuk bergerak ke hadapan bagi merealisasikan tindakan-tindakan tepat untuk manfaat rakyat.
Jangka pendek dan sederhana RMK
Rancangan Malaysia yang dibuat setiap lima tahun sejak tahun 1965 mempunyai sejarahnya yang tersendiri.
Saya
percaya, Tun Razak - timbalan perdana menteri ketika itu - yang kita
tahu pernah terlibat dalam gerakan kiri melalui Parti Buruh semasa
belajar di United Kingdom, mengambil ilham daripada rancangan lima tahun
yang dimulakan oleh Parti Komunis di Kesatuan Republik Sosialis Rusia
(USSR) di bawah pimpinan Joseph Stalin antara tahun 1928 ke tahun 1932.
Rancangan lima tahun ini pasti dapat memberikan sedikit rasa kepastian (
certainty)
kepada banyak pihak. Pada masa sama ia juga berpotensi mengikat kita
untuk bersikap anjal sesuai dengan ketidaktentuan pelbagai pembolehubah
yang ada.
Maka, kajian separuh penggal seharusnya menjadi ruang untuk menampung keanjalan yang diperlukan.
Perlu
disedari, RMK-11 (dan KSP RMK-11) tidak terlepas daripada komitmen
kewangan untuk menjayakannya. Komitmen jangka sederhana ini mungkin
perlu mempertimbang kerumitan dalam komitmen jangka pendek bakal
dikemuka melalui pembentangan belanjawan nanti.
Sebagai contoh,
jika kita mengambil kira objektif pembangunan mampan dalam konteks
penggunaan teknologi hijau, pastilah kosnya dilihat tinggi dalam jangka
pendek sedangkan ia memberi manfaat dalam jangka panjang.
Kerajaan
perlu mempertimbang satu kaedah yang bersifat ‘menang-menang’ untuk
mencapai objektif kewangan dan pembangunan jangka pendek dan sederhana.
Memandang ke depan
Meskipun
RMK-11 ini dan Belanjawan 2019 nanti adalah rancangan jangka sederhana
dan pendek, kita juga tidak boleh melepas pandang cabaran masa depan.
Kita
mesti melihat tahun 2018 seakan-akan tahun 1918. Dengan kata lain, pada
tahun 2050 dan 2099 nanti, mereka yang hidup pada zaman itu mungkin
melihat kita pada hari ini sebagai ketinggalan.
Dalam maksud
lain, keperluan mereka yang akan hidup di zaman itu kemungkinan besar
sangat berbeza dengan keperluan kita dalam jangka pendek dan sederhana.
Namun, kesan daripada dasar pada hari ini berpotensi dirasakan pada masa
akan datang.
Sebagai contoh, perkembagan populasi tua diunjurkan
berada pada kadar sekitar 15 peratus pada tahun 2030 dan seterusnya 30
peratus pada tahun 2050.
Daripada data-data semasa, tanggungan
emolumen dan persaraan kini cukup tinggi, sekitar RM50 billion. Jumlah
ini akan terus meningkat jika kewajaran saiz kerajaan berbanding ekonomi
tidak dihitung.
Manakala
seramai 54 peratus pencarum KWSP memiliki simpanan kurang RM50,000
setahun ketika usia bersara. Baru-baru ini dinyatakan 74 peratus
penjawat awam berpendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan.
Dengan
jangkaan kadar hayat yang kian meningkat, sangat mungkin untuk kita
melihat simpanan generasi tua pada masa akan datang semakin tidak
mencukupi. Ini bermakna tekanan kepada generasi muda akan lebih besar
pada masa akan datang. Dan saya, jika dipanjangkan umur, akan mencecah
68 tahun pada tahun 2050. Apakah jaminan saya akan mempunyai cukup
simpanan mengambil kira inflasi dan cabaran ekonomi pada zaman itu?
Apakah
jaminan jaringan keselamatan sosial mencukupi ketika rakyat terus
terperangkap dalam situasi hutang isi rumah yang diakui tertinggi di
Asia kini dan mungkin berterusan dibawa pada masa akan datang?
Keutamaan pembangunan
Sebab itu saya fikir satu anjakan paradigma sangat diperlukan bagi melaksanakan tuntutan reformasi struktur.
Saya
gembira dengan rancangan-rancangan reformasi tadbir urus yang mahu
dilaksanakan. Gagasannya mesti jelas – untuk meningkatkan ketelusan dan
kecekapan melalui kesedaran bahawa kerajaan bukan sahaja mempunyai
tanggungjawab kepada rakyat tetapi juga tidak wajar merasakan tahu
segala yang terbaik untuk semua.
Pihak berkuasa tempatan perlu
memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan perancangan
pembangunan dengan mengambil kira aspek kesejahteraan rakyat yang luas –
daripada hal perkhidmatan di kawasan perumahan, lokasi kegiatan ekonomi
dan tanah lapang yang berpotensi dimajukan atau dipelihara.
Saya
berpandangan sasaran defisit fiskal kerajaan yang diubah daripada 0.6
peratus kepada 3.0 peratus sebagai sesuatu yang wajar. BN sebenarnya
tidak harus berbangga dengan apa yang mereka sasarkan sebelum ini.
Di
atas kertas mungkin nampak elok – Malaysia mencapai belanjawan
berimbang pada tahun 2020 – namun hakikatnya beberapa tahun kebelakangan
ini penyusutan defisit fiskal yang dibuat telah menekan rakyat melalui
potongan peruntukan kepada sektor kesihatan dan sektor pendidikan.
Untuk
jangka masa panjang, kita tidak boleh lagi bertangguh dalam usaha
meningkatkan kualiti pendidikan, bukan sahaja dari segi infrastruktur
dan kemudahan, tetapi juga pedagogi, kurikulum dan ko-kurikulum.
Dalam
hal kesihatan, kita mesti melihat tambahan kos kepada pesakit di
kawasan miskin kerana sesetengah kemudahan tidak ada. Usaha meningkatkan
persekitaran juga mesti dijalankan secara bersepadu antara beberapa
kementerian untuk mengatasi akar permasalahan misalnya dalam aspek
makanan dan persekitaran.
Selain
daripada tambahan belanjawan, saya percaya sekiranya kita mempunyai
data terbuka berkenaan senarai keperluan pendidikan dan kesihatan,
banyak pihak akan sedia menghulurkan tangan untuk membantu melalui
program-program tanggungjawab sosial korporat.
Saya gembira kerana
Matlamat Pelbagai Dimensi 2018-2020: Sasaran Dipinda dengan Keutamaan
dan Penekanan Baru menggariskan kepentingan untuk mengangkat kedudukan
golongan yang tertinggal dan mendekatkan jurang pembangunan antara
wilayah.
Dalam ucapannya, perdana menteri menyebut tentang
bagaimana dokumen reformasi ini memperlihatkan anjakan pemikiran
berkaitan pembangunan kerana ia bertumpu kepada kemakmuran yang dikongsi
bersama (shared prosperity).
Sesuai dengan ini, kerajaan perlu
mempertimbang formula baru yang lebih segar dalam agihan kekayaan
selaras dengan Perkara 109 dan 110 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Pemberian
per kepala dan penyelenggaraan jalan sebagaimana yang diberikan sejak
sekian lama boleh diteruskan, namun ia tidak memadai untuk membawa
pembaharuan yang boleh mendorong pencapaian matlamat pelbagai dimensi
RMK-11.
Selama ini negeri-negeri maju bukan sahaja mendapat
peruntukan-peruntukan ini, tetapi boleh dikatakan kebanyakan projek mega
jelas bertumpu di negeri-negeri kaya ini.
Kerajaan boleh
menentukan misalnya peruntukan tetap sebanyak RM1 billion setahun kepada
setiap negeri dan kemudian ditambah dengan peruntukan per kepala dan
penyelenggaraan jalan.
Kesan peruntukan ini tentulah akan lebih
dirasai di negeri-negeri miskin dan ketinggalan berbanding negeri-negeri
yang sudah kaya, meskipun jumlah yang diterima adalah sama.
Bagaimana dengan Perlis?
Sebagai
wakil tunggal HARAPAN Perlis di Parlimen, sudah tentu saya ingin
mengajak kerajaan persekutuan memberi perhatian kepada negeri yang masih
lagi ditadbir oleh BN ini.
Ada beberapa perkara yang saya fikir perlu ditangani dalam tempoh baki dua tahun RMK-11 untuk Perlis.
Pertama,
dalam soalan saya kepada Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli semasa
sidang sebelum ini, beliau mengakui peratusan air tidak berhasil (
non-revenue water, NRW) di Perlis adalah yang tertinggi di negara ini.
Ia
bukan sahaja berpunca daripada kecurian air, tetapi juga faktor
paip-paip lama yang perlu diganti. Menteri berkata kementerian sedang
mempertimbang sama ada mengganti paip-paip ini atau membuat jajaran baru
paip air di seluruh negeri.
Jika ini tidak dilaksanakan dalam tempoh baki RMK-11, saya tidak tahu bilakah lagi ia akan dilaksanakan.
Kedua,
sudah sekian waktu Perlis tidak lagi menikmati pelaburan asing dan amat
bergantung kepada pelaburan domestik. Saya berharap situasi ini akan
berubah.
Kerajaan harus melihat potensi masa depan apabila
Terusan Kra mula berfungsi di mana Perlis akan menjadi negeri paling
hampir yang boleh menarik manfaat daripada laluan tersebut. Bersamaan
dengan ini, sektor pelancongan negeri haruslah ditingkatkan.
Ketiga,
sektor pertanian perlu ditambah baik dengan mengalih sebahagian
daripada bil import yang bernilai lebih RM50 billion. Peningkatan
subsektor agro-makanan kepada 42.4 peratus boleh dicapai dengan
menjadikan negeri-negeri seperti Perlis sebagai tunjang pertanian.
RMK-11
dan Belanjawan 2019 nanti tentulah bukan ubat mujarab yang boleh
menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Namun, perjalanan beribu batu
bermula dengan langkah pertama.
RMK-11 dan Belanjawan 2019
adalah kesempatan terbaik untuk Pakatan Harapan memulakan langkah awal
ke arah reformasi yang lebih menyeluruh.
NOOR AMIN AHMAD
adalah Anggota Parlimen Kangar dan anggota jawatankuasa pemandu
jaringan anggota parlimen muda Bank Dunia. Sebahagian ulasan ini telah
disampaikan dalam perbahasan di Parlimen.