Khamis, 26 Februari 2009

Keputusan kerajaan banyak 'Flip -Flop' - Azmi Khalid

Azamin Amin


KUALA LUMPUR- Keputusan kerajaan yang sering kali dilihat seperti 'Flip-Flop' yakni berubah dari satu masa ke satu masa dalam tempoh yang singkat, jelas tidak membantu malah menyusah rakyat dan negara.

Demikian kritik Dato' Seri Azmi bin Khalid (BN-Padang Besar) ketika membahaskan titah ucapan Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat jam 12.00 tengah hari tadi.

Azmi mengungkap contoh mudah berhubung larangan merokok oleh kerajaan yang sering kali 'dislogankan' sebagai membahayakan kesihatan namun pada masa yang sama kerajaan juga membenarkan beberapa syarikat rokok membina kilang di dalam negara malah mengimport bahan-bahan tertentu termasuk rokok luar untuk dipasarkan ke dalam negara.

"Ini yang dikatakan 'Flip-Flop'. Satu hari boleh, esok sudah tidak boleh. Sebagai Mantan Menteri saya lihat perkara ini di mana ada projek sudah dapat kelulusan, tidak lama kemudian ianya dibatalkan," katanya.

Beliau menyatakan kes 'Flip-Flop' ini tidak hanya membabitkan projek tetapi juga melibatkan dasar kerajaan yang sering kali berubah dari masa ke semasa.

"Ini tidak baik bagi kerajaan. Malah ia membayangkan satu pentadbiran yang tidak mampu membangunkan masyarakat, golongan perkerjaan dan perniagaan khususnya bumiputra," katanya.

Sambil menambah Azmi menjelaskan isu ini juga membabitkan bidang kuasa kementerian di antara kementerian yang lain yang di lihat terhad dan bertindan antara satu sama lain sehingga terjadinya keputusan 'Flip-Flop' ini. _

Parlimen: Siapa pantau Peguam Negara?

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Sebarang tindakan dan keputusan oleh Peguam Negara tidak boleh dipertikaikan kerana bidang kuasanya amat luas malah tidak dipertanggungjawabkan untuk 'mengadap' atau memberi penjelasan di Parlimen jika timbul isu berbangkit antaranya salah guna kuasa Peguam Negara dalam kes tertentu.

Justeru, Ahli Parlimen (KeADILan-Kulim Bandar Baharu) Zulkifli Noordin membangkitkan soalan lisan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat pagi tadi sama ada kerajaan bercadang menjadikan jawatan Peguam Negara bertanggungjawab terus kepada Parlimen yang dijawab oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Seri Nazri Abdul Aziz.

"Jawatan Peguam Negara tidak wajar dipertanggungjawabkan terus ke Parlimen. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, untuk membolehkan Peguam Negara bertanggungjawab terus ke Parlimen, beliau hendaklah merupakan seorang ahli parlimen sama ada ahli Dewan Negara ataupun Dewan Rakyat.

"Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan, menghalang mana-mana penjawat awam dari menjadi ahli parlimen. Perlembagaan Persekutuan 145 (1) juga menyatakan Peguam Negara adalah dilantik oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri dan calon Peguam Negara mestilah seoarang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Ini bermakna calon tersebut tidak boleh terdiri dari kalangan ahli Dewan Negara ataupun Dewan Rakyat, " kata Nazri membalas soalan Zulkifli.

Zulkifli dalam soalan tambahannya mempersoalkan siapa atau badan manakah yang memantau sebarang tindakan oleh Peguam Negara agar ianya tidak lari daripada bidang kuasa asalnya.

Malah turut membangkitkan, bagaimana situasi Peguam Negara sekiranya disabitkan sebarang pendakwaan ke atas dirinya seperti laporan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan wujud salah guna kuasa.

"Dalam laporan Anwar, terdapat pita rakaman yang menunjukkan adanya keterangan saksi palsu yang diarahkan oleh Pegauam Negara Dato' Abdul Ghani Patail.

"Dalam hal ini siapa dan badan manakah yang pantau Peguam Negara?" soal Zulkifli kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Dalam pada itu, Dr Fuad Zarkashi (BN-Batu Pahat), turut membangkit cadangan agar institusi Peguam Negara ini di anggotai oleh pelbagai pihak termasuk ahli-ahli parlimen dan menjadi penasihat seperti yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

"Ini penting kerana imej Peguam Negara seringkali dipersoalkan," katanya.

Sementara itu, Nazri menyatakan bahawa kredibiliti seoarang Peguam Negara tidak akan terjejas hanya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

"Setiap laporan kita mesti siasat dulu. Ini baru satu dua bulan...beri kita masa...," katanya. - mks. _

TLDM guna kapal 'second hand' Amerika usia 25 tahun

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Sri Inderapura merupakan sebuah kapal perang 'second-hand' milik Amerika Syarikat yang telah diguna selama 25 tahun oleh negara tersebut.

Dato' Wira Abu Seman Yusop (BN-Masjid Tanah) memberitahu bahawa kapal tersebut telah digunakan oleh TLDM semenjak 16 Disember 1994 dengan harga pembelian berjumlah RM53 juta.

"Kos membaik pulih pula berjumlah RM54.4 juta yang dilakukan di Limbungan di Johor pada 2 Februari 2000," katanya ketika menjawab soalan Ustaz Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) pagi tadi di Dewan Rakyat.

Sebelum mengungkap soalan tambahan Ustaz Nasharudin juga memberitahu bahawa kapal yang siap dibina pada 7 Februari 1970 di National Steel & Ship Buliding di San Diego, California dilancarkan pada 7 November 1970 atas nama USS Button Buck County LST 1192 dan dibeli oleh Kementerian Pertahanan di bawah satu program dikenali sebagai' Security Assistant Program'

"Apakah lain-lain perjanjian persefahaman di bawah 'Security Assistant Program' bersama Amerika Syarikat ini.

"Dan adakah adakah pembelian persenjataan daripada Amerika ini akan diteruskan di sebalik apa yang berlaku dalam dunia politik antarabangsa dalam keadaan sikap dan keadaan yang ditunjukkan oleh Amerika terhadap insiden-insiden yang berlaku?" tanya Ustaz Nasharudin yang juga Timbalan Presiden PAS itu.

Namun soalan serius beliau dijawab sambil lewa oleh Wira yang juga Timbalan Menteri Pertahanan bahawa setakat ini tidak ada perancangan pembelian dan sekiranya ada keperluan barulah kementerian akan membuat pembelian.

Ketika itu, bingkas Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mengemuka soalan kewajaran serta faedah membeli kapal 'second-hand' dan adakah ianya selamat digunakan.

"Dari segi kosnya ianya 'menguntungkan'... ianya masih selamat digunakan di Eden dan menjadi 'escort' kapal-kapal Malaysia yang berlayar di Eden," katanya.

Perkataan 'menguntungkan' telah mencetuskan pelbagai sorakan dan 'suara-suara' sinis ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat termasuk daripada BN sendiri. - mks. _

PRK Bukit Gantang - PAS Terengganu Pastikan Changkat Jering Kekal Menang

Wartawan Buletin


Setiu – PAS Terengganu akan memastikan DUN Changkat Jering kekal menang dibawah PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil (PRK) parlimen Bukit Gantang yang akan diadakan pada 7 April akan datang.

“InsyaAllah, petugas-petugas kita akan menjalankan tugas berkempen dan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam DUN Changkat Jering dengan undi meningkat,

“kita akan menyampaikan penerangan kepada seluruh pengundi kawasan tersebut untuk menolak pengkhianat yang melompat,”kata Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hj Muhyidin Rashid selepas Majlis Penerangan di Kampung Darat Batu Rakit, dekat sini semalam.

Menurut beliau perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat peringkat negeri yang diadakan kelmarin.

Beliau berkata, bagi melaksanakan amanah itu, satu pasukan akan berlepas ke DUN Changkat Jering secepat mungkin untuk meninjau dan mengenalpasti keperluan sepanjang waktu kempen.

Katanya para petugas PAS Terengganu akan diletakkan sepenuh masa di kawasan enam peti undi dalam DUN terbabit.

“Pasukan peninjau kita sudah bersedia dan akan berlepas bila-bila masa ke Changkat Jering,

“enam peti undi menjadi fokus kita, segala keperluan akan dikenalpasti selepas pasukan tersebut kembali minggu depan,”ujarnya kepada Buletinonline.

Katanya sekurang-kurangnya seramai 25 orang petugas akan ditempatkan disetiap peti undi dan membuat persiapan lebih awal di peti undi berkenaan bermula 6 Mac.

Oleh itu katanya seramai 150 petugas paling minima akan dihantar sepanjang sebulan sehingga hari mengundi pada 7 April nanti.

Beliau menyeru kepada semua petugas supaya bersedia untuk memberikan khidmat terbaik sebagaimana negeri-negeri dan kawasan lain memberikan sumbangan mereka dalam PRK Kuala Terengganu bulan lalu.

“Inilah masanya untuk petugas-petugas kita membalas budi para petugas dari negeri dan kawasan diseluruh negara yang membantu kita (dalam PRK KT),

“mereka bertungkus lumus, siang dan malam, menyumbang tenaga dan wang ringgit, begitu jugalah kita harus berkhidmat,”tegasnya.

Justeru katanya, semua petugas PAS Terengganu agar dapat menghubungi kawasan masing-masing supaya penyelarasan dapat dibuat segera.

Sebelum itu, dalam ceramah penerangannya beliau berkata kerajaan persekutuan dalam kempen pilihanraya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini berjanji akan membayar wang royalti dalam bulan Mac depan.

Namun, katanya, sehingga kini belum nampak kepastian wang tersebut akan bnar-benar diserahkan kepada kerajaan negeri Terengganu.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ahi Jawatankuasa PAS Setiu, Hj Shamsudin Wahab dan penceramah jemputan Ustaz Shahril Long.

Soi Lek antara 22 saksi dipanggil beri keterangan isu DVD seks

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek merupakan salah seorang daripada 22 saksi yang telah dipanggil oleh pihak polis berhubung siasatan kes dua laporan dibuat orang awam mendakwa menerima cakera padat digital (DVD) rakaman aksi seks membabitkan bekas Menteri Kesihatan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, polis tidak dapat memastikan secara tepat identiti pihak yang terlibat dalam rakaman tersebut.

“Pihak polis telah memanggil seramai 22 orang saksi termasuk Dr Chua untuk memberi keterangan berhubung siasatan dalam kes ini,” kata Syed Hamid dalam jawapan bertulis kepada Hee Loy Sian (PKR-PJ Selatan).

Loy dalam soalan bertulisnya kepada Menteri Luar, di Parlimen semalam bertanya mengapa tiada seorang pun didakwa dalam kes melibatkan skandal seks bekas menteri tersebut.

Syed Hamid berkata kertas siasatan telah pun siap dan telah dihantar kepada Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, setelah melihat kepada fakta dalam kes ini secara keseluruhan Peguam Cara Negara telah mengambil keputusan untuk menutup kes tersebut pada 28 Ogos tahun lalu,” ujarnya.

PKR yakin lakukan kejutan pada pilihanraya kecil Batang Ai

BERNAMA


KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin dengan peluang untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada pilihan raya kecil akan datang berikutan kematian penyandangnya Datuk Dublin Unting Ingkot, kata Timbalan Ketua PKR negeri Nicholas Bawin Anggat hari ini.

Bawin, yang diuar-uarkan bakal menjadi calon PKR bagi kerusi itu berkata pada kali ini, pertarungan bagi kerusi majoriti pengundi Iban itu pasti panas kerana kedua-dua parti mempunyai sokongan kewangan dan logistik, tidak seperti pada pilihan raya lepas.

"Saya akan serahkan kepada parti untuk memutuskan siapa calon PKR bagi kerusi Batang Ai dan ia merupakan satu penghormatan kepada saya jika parti menamakan saya sebagai calon," katanya kepada Bernama di sini.

Pemegang diploma Pengurusan Perniagaan dari Institut Teknologi Mara (ITM) (kini dikenali Universiti Teknologi Mara) berumur 50 tahun itu berkata masalah pemilikan tanah, khususnya tanah adat akan menjadi isu utama dalam pilihan raya kecil itu, yang tarikhnya masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bekas presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) itu bertanding di kerusi itu dalam pilihan raya 2006 atas tiket Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), memperoleh 2,489 undi dan tewas kepada Dublin yang mendapat 3,298 undi, dengan majoriti 806 undi.

Dublin 55, yang juga Menteri Muda Pertanian dan Sukan, meninggal dunia di Normah Specialist Medical Centre (NSMC), selepas dimasukkan ke hospital itu akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei tahun lepas dan berada dalam keadaan koma sehingga menghembuskan nafas terakhir.

Guan Eng sedia jumpa Zahid Hamidi jelaskan perkara sebenar

BERNAMA


PULAU PINANG — Kerajaan Pulau Pinang sedia memberi penjelasan dan berbincang dengan Kerajaan Pusat berhubung isu penubuhan Majlis Silaturrahim Antara Agama di negeri ini. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata pihaknya sentiasa terbuka dan menyambut baik kesediaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertemu dengannya bagi mengetahui hal sebenar berhubung isu itu.

“Saya tiada masalah untuk bertemu dengan beliau (Dr Ahmad Zahid) bagi menjelaskan perkara sebenar dan pendirian kita berhubung isu berkenaan kerana saya tidak pernah menghina Islam seperti yang dilaporkan akhbar Utusan Malaysia itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program amal merdeka di sebuah hospital swasta di sini , hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Dr Ahmad Zahid yang akan menemuinya dan juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Shabudin Yahaya minggu depan bagi mendengar penjelasan mereka berhubung isu berkenaan.

Dr Ahmad Zahid dilaporkan berkata tindakan itu bagi berlaku adil kepada semua pihak yang dikaitkan dalam isu berkenaan kerana ia menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat Islam di negara ini.

ADUN diekori

Pakatan Rakyat


KULIM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Lim Soo Nee membuat laporan polis semalam apabila mendakwa dirinya diekori dua lelaki bermotosikal sejak dua hari di sini.

Soo Nee berkata, perkara itu mula disedarinya sejak kelmarin apabila dua lelaki yang tidak diketahui identitinya mengekori keretanya pada waktu petang antara jam 3 hingga 5 petang.

Katanya, penunggang motosikal berkenaan hanya mengekorinya dari jauh sahaja tetapi beliau dapat mengagak bahawa dirinya diekori apabila dua lelaki tersebut mengekorinya menggunakan motosikal yang sama berwarna biru.

“Ini berlaku setelah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang akhbar di Parlimen pada 19 Februari lalu dan mendedahkan isu pita rakaman bekas pemimpin negeri yang dikatakan cuba merasuah saya.

“Jadi ada kemungkinan ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendedahan tersebut dan cuba menggunakan cara ini untuk mengancam saya,” katanya.

Menurutnya, beliau begitu pasti dirinya sedang diekori sejak dua hari lalu apabila lelaki berkenaan turut memberhentikan motosikal yang dinaiki mereka sebaik beliau berhenti di tepi jalan.

Katanya, apabila dia menggerakkan semula kenderaannya, dua lelaki bermotosikal itu terus mengekorinya pada waktu berkenaan menjadikan beliau agak risau dengan keselamatannya.

“Perkara ini berlaku selama dua hari berturut-turut hingga menyebabkan saya berasa risau mengenai keselamatan diri dan keluarga saya yang sentiasa bergerak di sekitar bandar ini.

“Oleh itu saya membuat laporan kepada polis supaya mereka dapat memantau keselamatan saya dan keluarga dengan memohon rondaan yang kerap di kediaman saya,” katanya.

Beliau turut ditemani peguamnya yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Keadilan, Cheah Kah Peng membuat laporan di Balai Polis Kulim petang semalam.

Terdahulu, Ketua PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media di Parlimen mendedahkan kewujudan pita rakaman bekas pemimpin negeri ini yang dikatakan cuba merasuah ADUN itu untuk melompat ke parti Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Ghuzlan Salleh mengesahkan menerima laporan tersebut.

Kerajaan negeri Selangor serius hadapi kegawatan ekonomi

Pakatan Rakyat


SHAH ALAM – Kelembapan ekonomi mula menularkan impaknya ke seluruh dunia pada suku akhir tahun 2008, di mana ekonomi di negara maju seperti Amerika Syarikat berada dalam ‘kecemasan’ sehingga kini belum menampakkan peningkatan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini terbukti dengan pakej rangsangan berbilion ringgit yang ditawarkan kerajaan pusat untuk disalurkan kepada pihak industri dan pekerja yang dilanda masalah kewangan.

Menurut beliau, sebagai usaha menangani masalah ini kerajaan negeri kini sedang berusaha melaksanakan strategi dan tindakan bagi menghadapi impak kemelesetan ekonomi global.

“Kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa khas penyelamat iaitu ‘Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Negeri Selangor’ dipengerusikan saya sendiri yang bermesyuarat setiap minggu.

“Jawatankuasa ini sedia berusaha mengurangi impak kemelesetan ekonomi global malah telah pun mewujudkan sistem pengumpulan data pekerja yang diberhentikan di mana usaha ini digerakkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Bagi melancarkan usaha ini, majlis bandaraya dan majlis perbandaran pula dikehendaki membuka kaunter pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap Sabtu bermula Mac ini.

Katanya, talian-bantuan atau ‘helpline’ diwujudkan dalam laman laman web negeri Selangor khusus untuk membuat pemadanan (matchmaking) antara data pekerja yang diberhentikan ini dengan data keperluan tenaga kerja.

“Selain itu, pekerja yang diberhentikan kerja diberikan latihan dalam bidang bersesuaian di institusi latihan di negeri ini sebagai usaha meringankan bebanan mereka.

“Dalam pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa kedua, kerajaan negeri sedang merangka program untuk membantu golongan usahawan dan golongan belia berasaskan kebolehan mereka,” katanya.

Khalid berkata, manifesto kerajaan Pakatan Rakyat ini akan direalisasikan secara berperingkat mengikut kemampuan dengan teratur dan terancang.

Kes Anwar: Mahkamah putuskan 5 Mac untuk semakan permohonan

Oleh ZANARIAH ABDUL MUTALIB


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 5 Mac depan untuk memutuskan rayuan pasukan pendakwaan memindahkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Mahkamah Sesyen.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak bantahan awal Anwar Ibrahim terhadap rayuan pasukan pendakwaan untuk kes liwatnya didengar di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu pada sidang mahkamah pagi semalam, Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden kekal mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keputusan pihak pembela untuk menarik balik permohonan menggugurkan beliau.

Ketua pasukan peguam Anwar, Sulaiman Abdullah berkata, Mohd Yusof telah menghantar afidavit yang membuat perakuan bahawa beliau tidak mempunyai kertas siasatan insiden mata lebam bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun beliau menganggotai Suruhanjaya Diraja menyiasat insiden tersebut.