Khamis, 26 Februari 2009

Kerajaan negeri Selangor serius hadapi kegawatan ekonomi

Pakatan Rakyat


SHAH ALAM – Kelembapan ekonomi mula menularkan impaknya ke seluruh dunia pada suku akhir tahun 2008, di mana ekonomi di negara maju seperti Amerika Syarikat berada dalam ‘kecemasan’ sehingga kini belum menampakkan peningkatan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini terbukti dengan pakej rangsangan berbilion ringgit yang ditawarkan kerajaan pusat untuk disalurkan kepada pihak industri dan pekerja yang dilanda masalah kewangan.

Menurut beliau, sebagai usaha menangani masalah ini kerajaan negeri kini sedang berusaha melaksanakan strategi dan tindakan bagi menghadapi impak kemelesetan ekonomi global.

“Kerajaan negeri telah mewujudkan jawatankuasa khas penyelamat iaitu ‘Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Negeri Selangor’ dipengerusikan saya sendiri yang bermesyuarat setiap minggu.

“Jawatankuasa ini sedia berusaha mengurangi impak kemelesetan ekonomi global malah telah pun mewujudkan sistem pengumpulan data pekerja yang diberhentikan di mana usaha ini digerakkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Bagi melancarkan usaha ini, majlis bandaraya dan majlis perbandaran pula dikehendaki membuka kaunter pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap Sabtu bermula Mac ini.

Katanya, talian-bantuan atau ‘helpline’ diwujudkan dalam laman laman web negeri Selangor khusus untuk membuat pemadanan (matchmaking) antara data pekerja yang diberhentikan ini dengan data keperluan tenaga kerja.

“Selain itu, pekerja yang diberhentikan kerja diberikan latihan dalam bidang bersesuaian di institusi latihan di negeri ini sebagai usaha meringankan bebanan mereka.

“Dalam pelaksanaan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa kedua, kerajaan negeri sedang merangka program untuk membantu golongan usahawan dan golongan belia berasaskan kebolehan mereka,” katanya.

Khalid berkata, manifesto kerajaan Pakatan Rakyat ini akan direalisasikan secara berperingkat mengikut kemampuan dengan teratur dan terancang.

Tiada ulasan: