Usahawan kosmetik dalam buruan pihak berkuasa Malaysia, Muhammad Sajad Kamarul Zaman, atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, dikatakan bersembunyi di dalam kontena barang ketika meloloskan diri ke Thailand sebelum ini.
Desas-desus menyatakan dia membuat bayaran dengan jumlah tertentu kepada sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar untuk menyembunyikannya bersama seorang kenalan lain di dalam kontena barang yang memasuki Thailand.
Sajat dikatakan tidak berpakaian wanita seperti biasa dilakukannya sebaliknya mengekalkan identiti lelaki ketika menaiki kereta api kargo dari Padang Besar dan turun di Hatyai, Thailand, sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta api ekspres ke Bangkok.
Susulan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga sedang melakukan siasatan dalaman berhubung dakwaan Sajat meloloskan diri ke Thailand dengan menaiki kereta api di Padang Besar.
Dalam kenyataa semalam, KTMB berkata semua kontena yang dibawa ke Thailand dimiliki syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggannya di Malaysia dan negara jiran itu.
“KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena tersebut sama ada kontena kosong atau bermuatan.
“Fasiliti dan terminal kargo KTMB di Padang Besar adalah kawasan yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti polis bantuan dan kastam,” kata KTMB.
Menurut KTMB setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang teliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Sajat sudah ditahan di Thailand.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan memaklumkan Nur Sajat ditahan kira-kira jam 6 petang 8 September lalu oleh Imigresen Thailand kerana memiliki pasport perjalanan tidak sah.
“Pada 9 September, Sajat dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan