Jumaat, 14 Ogos 2020

Produk kepak ayam sejuk beku dari Brazil positif COVID-19

Athirah Huda Zalhe

 

Tiada bukti saintifik daging boleh sebarkan jangkitan virus

BRASILIA– Sampel kepak ayam sejuk beku yang diimport dari Brazil disahkan positif wabak COVID-19, kata pihak berkuasa China menerusi siri laporan terbaharu mengenai produk makanan import tercemar. 

Wabak berkenaan dikesan pada Rabu lalu, selepas sampel pada ayam berkenaan diambil untuk pemeriksaan makanan beku yang diimport di daerah Longgang di Shenzhen, kata pihak berkuasa wilayah itu. 

Pegawai terbabit bagaimanapun tidak menyebut jenama produk sejuk beku berkenaan.  

Pihak berkuasa kesihatan, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mengatakan kemungkinan penularan virus melalui makanan adalah rendah.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Shenzhen segera mengambil langkah mengesan individu yang mungkin bersentuhan dengan produk tersebut, namun semua hasilnya adalah negatif, dan produk berkaitan dalam stok telah ditutup serta turut disahkan negatif, kata kenyataan itu. 

Pihak berkuasa wilayah itu kini mengesan produk berkaitan daripada jenama sama yang telah dijual di pasaran, selain mendesinfeksi kawasan penyimpanan stok produk berkenaan. 

Sementara itu, Persatuan Protein Haiwan Brazil (ABPA) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang menganalisis produk itu dan mengulangi bahawa tiada bukti saintifik daging boleh menyebarkan virus.

“Masih belum dipastikan bila pembungkusan produk itu tercemar, dan apakah ia terjadi ketika proses pengangkutan eksport,” dakwa ABPA. 

Kementerian Pertanian Brazil pula dalam kenyataan berkata, pihaknya masih belum menerima pemakluman rasmi mengenai kejadian itu dari pihak berkuasa China. 

Setakat ini, Brazil melaporkan lebih 1.3 juta kes jangkitan COVID-19, jumlah kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), menurut Universiti Johns Hopkins. –  Agensi

Tiada ulasan: