Jumaat, 14 Ogos 2020

Kos Hantar Anak Ke Pusat Jagaan Membebankan, Puteri UMNO Mohon Perhatian Kerajaan

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggesa kerajaan mengambil perhatian serius mengenai kos menghantar anak ke pusat jagaan yang semakin membebankan.

Ujar Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, bagi bersama-sama menangani masalah tersebut pihaknya mengutarakan beberapa cadangan.

“Wujudkan pusat penjagaan anak-anak bagi penjawat awam di kementerian-kementerian, dan staf di semua syarikat berkait kerajaan (GLC).

“Menggalakkan sektor swasta wujudkan pusat yang sama di dalam bangunan atau berhampiran mengikut kesesuaian.

“Perkenalkan pakej bantuan khas kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak kepada pengasuh jika majikan tidak dapat menyediakan kemudahan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Begitu juga tambah Zahida, pihak kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat diminta memberi bimbingan dan mempermudahkan pendaftaran bagi pusat-pusat jagaan kanak-kanak mengikut standard yang ditetapkan.

Ulasnya juga, pada 6 Ogos tempoh hari Puteri UMNO ada membangkitkan masalah hilang pekerjaan yang dihadapi oleh wanita dan ibu tunggal yang menjadi ketua isi rumah.

“Seperti dilaporkan sebelum ini golongan wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan 72.2% daripada bilangan hilang pekerjaan sehingga hari ini.

“Di zaman serba mencabar ini ramai wanita terpaksa bekerja bagi membantu suami menampung kos sara hidup dan perbelanjaan keluarga,” katanya.

Hal tersebut katanya membuatkan ramai yang perlu menghantar anak ke pusat jagaan atau Taska berdaftar, dan ada juga yang terpaksa menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar untuk mendapatkan harga lebih murah.

“Ramai para ibu mengadu kepada kami berkenaan kos yang tinggi bagi menghantar anak ke pusat jagaan sebagai contoh ‘baby’ RM350 hingga RM450, RM300 bagi anak berusia 1 hingga 3 tahun, RM280 bagi anak berusia 4 hingga 6 tahun dan RM150 untuk setengah hari bagi anak bersekolah,” jelasnya lagi.

Justeru, Zahida berharap pihak kerajaan mengambil perhatian semua pandangan dan cadangan yang dikemukakan bagi mengurangkan beban tekanan sekali gus dapat mengekalkan kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah (B40). – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: