Ahad, 2 Ogos 2020

Jadikan pemakaian pelitup muka norma baru kehidupan seharian

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
MGF01082020_HUMAN-INTEREST-MASK-7-681x453
Orang awam yang memakai pelitup muka setelah kerajaan mewajibkan
penggunaan di tempat awam dan pengangkutan awam yang sesak bermula
1 Ogos hari ini ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Jalan Tar,
Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN,

MULAI 1 OGOS, pemakaian pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum dalam negatra kita.

Orang awam boleh didenda RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu ini.

Langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka terpaksa dilakukan kerana peningkatan jumlah kes jangkitan Novel Koronavirus (Covid-19) dalam negara semenjak kebelakangan ini.

Langkah mewajibkan pemakaian pelitup muka ini juga terpaksa diambil kerana terdapat pihak yang tidak mematuhi saranan untuk memakai pelitup muka ini.

Mulai 1 Ogos, pemakaian pelitup muka ini diwajibkan di kawasan tumpuan ramai dan sesak seperti pasar, pasar tani dan pasar raya serta stesen pengangkutan awam seperti LRT, MRT serta bas.

Orang ramai tidak seharusnya memiliki sebarang sikap ego atau berasa malu untuk mengelak daripada memakai pelitup muka.

Setiap orang harus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan diri mereka dan orang sekeliling daripada dijangkiti dengan sebarang jenis penyakit berjangkit dan ini termasuklah jangkitan daripada Covid-19 yang sedang melanda dihampir semua negara dalam dunia pada ketika ini termasuklah Malaysia.

Virus Covid-19 adalah sejenis virus baru yang mudah menjangkiti antara manusia.

Tiada vaksin dan penawar yang boleh digunakan bagi mengubati virus terbabit pada masa ini.

Mereka yang dijangkiti dengan virus Covid-19 terdedah kepada kesan teruk terhadap tahap kesihatan mereka dan dalam kes-kes tertentu boleh menyebabkan kematian.

Berjuta-juta orang yang telah dilaporkan telah dijangkiti dengan virus terbabit dan beratus ribu orang yang telah dilaporkan maut akibat daripada jangkitan dengan virus berkenaan di serata dunia sehingga kini.

Memandangkan virus Covid-19 adalah sejenis virus yang amat bahaya dan mudah menjangkit adalah penting supaya orang ramai mengambil segala langkah yang perlu bagi mengelakkan diri mereka serta orang sekeliling dijangkiti dengan virus berkenaan.

Segala saranan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan khususnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) perlu dipatuhi pada setiap masa dan tanpa kompromi dan ini termasuklah saranan pemakaian pelitup muka.

Setiap orang harus ketahui, perang bagi melawan Covid-19 belum berakhir lagi. Sama ada mereka suka ataupun tidak, pemakaian pelitup muka harus dijadikan sebagai satu amalan atau norma baru pada kehidupan seharian semua orang pada masa kini sehingga vaksin atau penawar ditemui bagi mengubati virus Covid-19.

Pemakaian pelitup muka juga bukan tanda seseorang itu lemah, penakut atau tiada keyakinan terhadap diri sendiri. Pemakaian pelitup muka menunjukkan seseorang itu adalah seorang yang bijak dan berani untuk mengambil langkah bagi melindungi diri mereka sendiri dan orang lain daripada dijangkiti dengan virus berbahaya berkenaan.

Pemakaian pelitup muka  merupakan satu langkah yang paling mudah untuk dilakukan oleh semua pihak termasuk oleh golongan kanak-kanak. Oleh yang demikian, tiada sebab atau alasan bagi menafikan pengunaan pelitup muka ini dalam kehidupan seharian semua pihak.

Semua pihak hendaklah menggunakan pelitup muka yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Adalah penting juga untuk setiap orang menggunakan pelitup muka dengan betul supaya ianya benar-benar berkesan untuk melindungi diri mereka sendiri serta orang sekeliling
daripada jangkitan penyakit berjangkit.

Antara langkah-langkah yang perlu diambil semasa hendak memakai pelitup muka ialah dengan memastikan terlebih dahulu bahagian luar dan dalam topeng muka berkenaan.

Elakkan daripada menyentuh bahagian dalam pelitup muka terbabit. Bahagian luar pelitup muka biasanya berwarna dan bahagian yang lembut biasanya di atas untuk menutup bahagian hidung.

Pegang pelitup muka dengan kemas dan tekan perlahan di bahagian hidung untuk memastikan ia berada dalam kedudukan selesa. Pastikan pelitup muka dipasang kemas dengan tangan dan bernafaslah seperti biasa.

Adalah disarankan pelitup muka ditukar terutama apabila ianya telah lama digunakan ataupun setelah yakin ianya telah tercemar.

Akibat daripada penularan virus Covid-19 yang berlaku pada ketika ini, sudah pasti orang ramai akan mula berasa panik sekaligus akan berpusu-pusu membeli pelitup muka di
kedai – kedai.

Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan tegas melalui peruntukkan undang-undang sedia ada dalam negara kita terhadap mana-mana peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah terhadap pelitup muka yang dijual oleh mereka
seperti yang telah termaktub di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].- MalaysiaGazette

Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tiada ulasan: