Jumaat, 14 Ogos 2020

Putrajaya digesa kawal ketat pelancongan antara bandar zon hijau

Pengusaha industri pelancongan menyambut baik cadangan kerajaan membenarkan 
kemasukan pelancong asing dari bandar zon hijau ke Malaysia.

PETALING JAYA: Industri pelancongan menyambut baik cadangan kerajaan membenarkan rakyat dari bandar zon hijau di negara lain melancong ke zon hijau Malaysia, tetapi pengusaha menggesa prosedur keselamatan ketat dilaksanakan.

Jurucakap Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) serta Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata, keselamatan pelancong dan petugas barisan depan dalam industri itu perlu diutamakan.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan sedang mengkaji kemungkinan membuka sempadan kepada pelancong dari bandar zon hijau berbanding menunggu seluruh negara itu menjadi zon hijau.

Setiausaha Agung Matta, Nigel Wong berkata idea memperkenalkan pelancongan selamat untuk bandar zon hijau lebih masuk akal.

“Ia mungkin lebih mudah untuk menentukan tahap keselamatan berdasarkan lokasi geografi khusus,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perlu ada jaminan pelancong dari negara lain menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal dan disaring sepenuhnya semasa ketibaan.

“Juga, penting untuk mengawasi ke mana pelancong itu akan pergi.”

Presiden MAH, Mohamad Halim Merican berkata hotel akan mengalu-alukan kemasukan ramai pelancong dengan syarat semua protokol berkaitan dilaksanakan.

“Jika kawalan g dengan g (zon hijau dengan zon hijau) boleh berlaku, dan ia cukup selamat dan ketat, kita tentu mengalu-alukannya. Kami mahu perniagaan.”

Bagaimanapun, beliau menggesa “pertimbangan terperinci” terhadap semua risiko kerana Malaysia tidak mampu mengharungi pelaksanaan perintah kawalan pergerakan semula.

“Kami tentu mahu terbuka kepada pasaran antarabangsa dan untuk pelancong datang ke Malaysia, tetapi kita perlu tanya jika ia benar-benar cukup selamat.”

Beliau mendapati kelemahan zon hijau dengan merujuk Pulau Pinang sebagai contoh.

“Pulau Pinang menjadi zon hijau sejak Mei lalu. Tetapi, tiba-tiba 3 kes baru timbul dan semua orang kini agak was-was untuk ke tempat tertentu.”

Katanya, ahli MAH di Pulau Pinang menyaksikan hanya separuh pengunjung pada hujung minggu lalu, selepas melaporkan kadar penghunian baik beberapa minggu sebelumnya.

Tiada ulasan: