PETALING JAYA: Seramai 126 individu ditahan dan dituduh berikutan kes penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, sama ada menggunakan kad pengenalan milik orang lain atau memiliki kad pengenalan palsu.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata, semua mereka ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2019 hingga 30 Jun 2020, dan dituduh bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara.
“KDN dan JPN sentiasa komited dalam usaha memburu pengguna dan ejen pemalsuan dokumen pengenalan diri dengan menjalankan operasi penguatkuasaan di seluruh negara dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain bagi membendung masalah berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat menerusi jawapan bertulis.
Terdahulu, Wan Hassan Ramli (PAS- Dungun) meminta Hamzah menyatakan penjelasan kepada isu pemilikan kad pengenalan palsu dan jumlah yang dikesan dari operasi besar-besaran yang dijalankan dan apakah langkah keselamatan pada masa depan.
Hamzah berkata, langkah keselamatan yang diambil adalah mempergiatkan intipan, risikan dan operasi anti penyalahgunaan dokumen palsu seperti kad pengenalan dan dokumen yang dikeluarkan oleh JPN.
Selain itu, KDN menjalankan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi penguatkuasaannya dengan lebih kerap dan menyalurkan aduan serta mengambil tindakan terhadap kakitangan yang disyaki terlibat ke unit integriti (UI) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
“Kerajaan juga sedang memperhalus dan menambahbaik perundangan dan peraturan sedia ada bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan kawalseliaan urusniaga berkaitan pengeluaran kad pengenalan.”
“Sejajar dengan usaha kerajaan dalam membendung masalah berkenaan, kementerian ingin menasihatkan mana-mana individu atau institusi yang meragui ketulenan dokumen pengenalan diri untuk merujuk terus kepada KDN atau JPN bagi tujuan semakan data dan pemeriksaan fizikal dokumen,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan