Selasa, 4 Ogos 2020

Adik guna Twitter cari abang yang terpisah puluhan tahun

KISAH ini dipetik dari Siakap Keli. Cerita asal telah diciap oleh pemilik akaun Twitter ainajoo.

Suara Merdeka rasa terpanggil untuk sama mewar-warkan kisah yang menyentuh perasaan ini dan mendoakan supaya gadis ini berjaya menemui abang yang dicari.

Terpisah tanpa khabar berita dengan orang yang kita sayang adalah satu tempoh yang sangat memeritkan, apatah lagi jika insan itu adalah daripada pertalian darah kita sendiri.

Kes ahli keluarga atau adik beradik yang terpisah ini mungkin sudah banyak berlaku di negara kita.

Ada yang hilang kerana jenayah (nauzubillahi min zalik), ada yang terpisah ‘mati’ (meninggal dunia), malah ada yang terpisah dan hilang tanpa dapat dikesan punca sebenar.

Begitu juga yang dialami oleh pemilik akaun Twitter bernama ainajoo ini.

Gadis ini mendakwa abang kandungnya sudah terpisah dan hilang sejak kecil, bertahun lamanya tiada sebarang khabar berita hingga ke hari ini.

Beliau memohon bantuan dan kerjasama orang awam, netizen atau pihak-pihak berkaitan untuk menemukan semula abang kandungnya itu.

Nama: Muhammad Ikram bin Ibrahim

Nama ibu: Nor Yana binti Adam

Tarikh lahir: 28 April 1996

Umur kini: 24 tahun

Kali terakhir bersama: Ketika dijaga oleh seorang individu digelar ‘Mak Teh’ (umur pada waktu itu tidak dinyatakan).

Dakwa Ain, akibat perpisahan yang sudah bertahun lamanya, ibu mereka kini sangat merinduinya.

Bebenang di Twitter ini dibuat agar ia berpanjangan dan terus dihebahkan menerusi segenap saluran media sosial.

Manalah tahu, si abangnya ini pun ada Twitter, kalau ramai netizen retweet, share, viral dan sebagainya, barangkali boleh sampai juga maklumat ini kepadanya.

Semoga mereka dipertemukan kembali. SM

Tiada ulasan: