Ahad, 23 Ogos 2020

12 masjid di Perlis dibuka semula selepas ditutup 2 minggu

Kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan 
pergerakan diperketatkan bersasar di Kampung Kuala Sanglang 
dan Kampung Tanah Timbul di Perlis dari 10 ogos 
hingga 31 Ogos kerana peningkatan kes Covid-19. 
(Gambar Bernama)

ARAU: Dua belas buah masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang, Simpang Empat dan Guar Sanji yang ditutup lebih 2 minggu sejak 7 Ogos susulan penularan wabak Covid-19 di Perlis dibuka semula hari ini.

Raja Muda Perlis Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkata, pembukaan semula masjid berkenaan adalah bagi membolehkan orang ramai menunaikan solat berjemaah dan menjalankan aktiviti pengimarahan, termasuk kuliah agama, mulai waktu solat Zohor.

“Adalah diingatkan kepada seluruh rakyat, agar sentiasa mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan kerana kita semua masih berada dalam suasana berjaga-jaga kerana wabak ini (Covid-19) masih lagi berada bersama kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) meminta pihak pengurusan masjid sentiasa bersiap siaga dan membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika ada keperluan untuk menutup semula masjid.

Pada 7 Ogos, MAIPs mengarahkan semua 12 buah masjid di 3 DUN berkenaan ditutup berikutan pertambahan kes baru Covid-19 di Perlis.

Kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (TEMCO) di 2 kampung di Kuala Sanglang, iaitu Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula 10 ogos hingga 31 Ogos.

Setakat semalam, terdapat sebanyak 9,257 jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini dan Perlis merekodkan 31 kes tanpa penambahan kes baru sejak 16 Ogos.

Tiada ulasan: