Wanita PKR mengecam kenyataan Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa bernada perkauman dan seksis terhadap Anggota Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto ketika sidang Dewan Rakyat hari ini.
"Ia jelas menunjukkan sikapnya yang rendah dan tidak menghormati kemuliaan Dewan Rakyat serta meneruskan tradisi kebiasaan pemerintahan lama yang gemar bersikap rasis dan seksis," kata naib ketuanya Sangetha Jayakumar dalam kenyataan.
Katanya, berbeza dengan pentadbiran PH, kerajaan kini tidak menjadikan wanita sebagai agenda penting dan "hanya berminat dengan perebutan kuasa".
"Kami yakin selagi mereka yang mewarisi sikap lama ini terus diberi tanggungjawab selaku pemimpin, wanita akan terus dianggap sebagai bahan lelucon dan hinaan dalam apa jua bidang yang mereka ceburi," katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Abdul Azeez mencelah Kasthuri yang ketika itu membangkitkan kekurangan anggota parlimen wanita yang diusulkan bagi menggantikan anggota jawatankuasa pemilihan parlimen, dengan berkata “gelap, tak nampak”.
Anggota Parlimen Jeluton RSN Rayer kemudian meminta Azeez menarik balik kenyataannya, menyebabkannya bangun dan berkata “Saya juga gelap, takkan gelap nak jadi isu.
“Saya tidak menyatakan bahawa beliau atau YB ini gelap. Saya pun gelap, pakailah bedak,” katanya susulan bantahan dari beberapa anggota parlimen pembangkang.
Insiden itu turut menarik perhatian All Women's Action Society (Awam).
"Kami bersolidariti dengan Kasthuri. Sukar dipercayai kita memiliki wakil rakyat seperti MP Baling di Parlimen yang mulia yang bercakap seperti seorang pembuli berusia 10 tahun," kata NGO itu.
NGO belia Challenger Malaysia pula berkata Baling memerlukan seorang wakil rakyat yang matang dan berkaliber berbanding Azeez.
"Kenyataan Azeez menunjukkan bahawa dia tidak mengambil kira tentang wanita dan golongan bangsa yang tidak serumpunya dari kawasan Baling
"Sekiranya beliau memerlukan bantuan untuk belajar cara menutup mikrofonnya, kami secara senang hati dan sukarela bersedia untuk menunjukkan cara yang betul menggunakan teknologi," katanya.
Challenger juga menyuarakan sokongan terhadap isu yang dibangkitkan Kasthuri berkenaan anggota Parlimen wanita dalam jawatankuasa pemilihan Parlimen.
"Kami secara kolektif menyokong pendiriannya untuk menambah bilangan ahli Parlimen wanita dalam jawatankuasa tersebut dan juga perlantikan wakil ahli Parlimen muda untuk mengangkat suara anak muda," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan