Rabu, 15 Julai 2020

Naratif dakwa Adib tak dibunuh salah, tidak adil pada keluarga

Siti Hafidah


Harap polis terus usaha tangkap pembunuh walaupun sukar

BANGI – Usaha menuntut keadilan di atas kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mesti diteruskan meskipun menemui jalan sukar serta memakan tempoh masa yang lama.

Justeru, Pengasas Gabungan Peguam Malaysia (MLC), Lukman Sheriff Alias berharap pihak polis tanpa berputus asa akan menangkap pembunuh Muhammad Adib.

“Saya boleh faham kesukaran mencari pembunuh kes Adib. Untuk mencari pembunuh dalam rusuhan yang berlaku tahun 2018 sekarang ini bukannya mudah.

“Kesukaran ini saya boleh hargai. Tetapi usaha mencarinya mesti tetap dibuat. Jenayah ini tiada batasan tempoh. Kita usaha mencari keadilan ke atasnya walaupun sukar dan lama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, walaupun pembunuh Muhammad Adib masih lagi belum ditemui, tidak bermakna tiada kejadian membunuh.

“Tidak menemui saksi terus (direct witness) sekarang tidak bermakna tiada pembunuh. Semua fakta sudah dipertimbangkan dan diputuskan dalam inkues.

“Hujah demi hujah sudah pun dikemukakan dan keputusan dibuat. Segala percanggahan sudah pun dileraikan. Maka dapatan koroner tidak harus dan boleh dipertikaikan kecualilah ada bukti lain.

“Setakat ini tiada yang berlainan dan baharu yang diumumkan. Mana-mana naratif yang menggambarkan dia tidak dibunuh adalah salah, dusta dan tidak adil kepada keluarga mangsa dan orang awam,” tegasnya.

Pada masa sama, beliau turut berharap pihak berkuasa tidak memberi penerangan mengelirukan mengenai kematian anggota bomba itu.

“Tetapi tidak boleh terima jika cuba menggambarkan tiada pembunuhan. Ini terlalu salah. Ada beza tidak dapat cari pembunuh dan tiada pembunuhan. Penerangan perlu jelas dan tidak mengelirukan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyangkal dakwaan keluarga Allahyarham Muhammad Adib bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Katanya, tiada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat pada 10 Julai lalu yang mengatakan tiada seorang pun saksi yang nampak Muhammad Adib dipukul termasuk dua anggota bomba yang berada dekat dengan Allahyarham.

Terdahulu, barisan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, tidak adil Abdul Hamid merumuskan tiada keterangan yang dapat mengaitkan pembunuhan anggota bomba itu hanya kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa yang berlaku.

“Dakwaan ini sudah dijawab dalam inkues dan tindakan Abdul Hamid menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan keterangan dan bukti yang ada.

“Ketika Muhammad Adib ditarik dan diserang, dia berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan disebabkan hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya dan adalah mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang sekali gus menjelaskan mengapa tiada sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Beliau bagaimanapun meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Tiada ulasan: