Jumaat, 17 Julai 2020

Lima peminjam PTPTN tarik balik saman terhadap PH

Hidir Reduan Abdul Rashid

Malaysiakini
 
Lima peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menarik balik saman mereka terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) bulan lalu.

Pada Oktober tahun lalu, kelima-lima plaintif mengemukakan saman itu terhadap PH dan dua yang lain berhubung janji-janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tidak dipenuhi.

Ia berkaitan janji penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN untuk peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan.

Selain PH, dua defendan lain yang dinamakan ialah PTPTN dan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun pada 30 Mac tahun ini, Malaysiakini melaporkan kelima-lima plaintif berkenaan berhasrat menarik balik tindakan undang-undang tersebut, berikutan penubuhan kerajaan baru Perikatan Nasional (PN).

Kerajaan PN ditubuhkan susulan sekumpulan pertemuan ahli politik pada 23 Februari di Hotel Sheraton di Petaling Jaya, yang digelarkan sebagai 'Langkah Sheraton' oleh pemerhati politik.

Bercakap kepada Malaysiakini petang ini, peguam plaintif Adnan Seman mengesahkan saman itu ditarik balik bulan lalu.

"(Telah) Adalah disahkan (saman itu) dah ditarik balik terhadap ketiga-tiga defendan.

"(Saman itu) ditarik balik pada bulan Jun," kata Adnan.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates mengemukakan Notis Pemberhentian terhadap ketiga-tiga defendan pada 4 Jun.

Firma guaman itu mewakili lima plaintif - Andry Putra Haris, 29, Farah Athirah Kamarozaman, 28, Mohamad Asrol Md Jailani, 27, Mohamad Muzakkir Mohamad Ali, 27, dan Mohammad Aswad Sobri, 35.

Difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Notis Pemberhentian itu menyatakan bahawa kelima-lima plaintif berkenaan telah memberhentikan tindakan undang-undang terhadap ketiga-tiga defendan, dengan kebebasan memfailkan semula dan tanpa sebarang perintah untuk kos.

Pada 22 Oktober tahun lalu, lima peminjam PTPTN berkenaan mengemukakan saman tersebut terhadap PH, PTPTN dan kerajaan.

Kelima-lima plaintif mendakwa ketiga-tiga defendan terikat secara kontrak untuk menunaikan janji-janji dalam manifesto - seperti berkaitan dengan penangguhan pembayaran pinjaman PTPTN untuk peminjam yang memiliki pendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Tiada ulasan: