KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh) hari ini mempertahankan keputusan tidak membahaskan pakej rangsangan ekonomi di Dewan Rakyat pada Mei, mengatakan rakyat tidak boleh tunggu perkara itu dibahaskan di Parlimen kerana amat perlukan bantuan.
Ketika Putrajaya tumpu kepada mengawal penularan Covid-19, rakyat juga terkesan kerana perniagaan tidak berjalan.
“Dalam situasi yang amat menyukarkan dan sulit sekali itu, kerajaan tidak ada pilihan…malahan saya berpendapat tindakan segera mesti diambil, walaupun sebelum sesi Parlimen bermula.”
“Ada berpuluh inisiatif terpaksa dilaksanakan kerana di luar sana rakyat menunggu. Mereka tak boleh tunggu sesi Parlimen ini,” katanya menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson).
Sebelum itu, Anwar mahu Muhyiddin menjelaskan kenapa pakej itu tidak dibahaskan, atas alasan Covid-19, sedangkan ia melibatkan kos yang tinggi.
“Mengapa kita halang perbahasan mengenai pemulihan ekonomi, sementara pelantikan besar syarikat berkaitan kerajaan terus-menerus?” soalnya.
Sementara itu, Shafie Apdal (Semporna-Warisan) berkata negeri memendekkan tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri untuk membahaskan pakej rangsangan masing-masing.
Dewan Rakyat sepatutnya bersidang selama 15 hari antara 18 Mei dan 23 Jun, tetapi dipendekkan kepada sehari kerana pandemik Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan