KELUARGA arwah Adib meletakkan harapan yang sangat
tinggi agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dengan
bersungguh-sungguh dan telus, bagi mencari dan menangkap pembunuh arwah
Adib, sesuai dengan dapatan terperinci Mahkamah Koroner yang mengesahkan
bahawa arwah mati dibunuh.
Walau bagaimanapun, keluarga arwah
Adib amat kesal dengan beberapa bahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 10 Julai 2020,
yang jelas tidak menghormati dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah
Koroner tersebut.
Sehubungan itu, barisan peguam telah diarahkan
oleh bapa arwah Adib, untuk menjawab dan membetulkan fakta-fakta
terpesong, tidak benar serta menyimpang yang diungkapkan oleh KPN di
dalam sidang medianya tersebut, seperti yang berikut ini:
Adalah
tidak adil untuk KPN merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat
mengaitkan arwah Adib dibunuh, hanya kerana dua orang pegawai Bomba yang
bersama Adib pada malam kejadian mengatakan mereka tidak nampak apa
yang berlaku. Lebih-lebih lagi tidak munasabah untuk KPN cuba
menggambarkan kononnya Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan
mempertahankan diri pada tubuhnya. Dakwaan-dakwaan ini sudah pun
dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan KPN menimbulkan semula
perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi
kejadian kes ini, berdasarkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang
ada.
Seperti yang telah diterangkan oleh Mahkamah Koroner di
dalam keputusannya yang mendalam lagi terperinci, ketika Adib ditarik
dan diserang, dia telah pun berada dalam keadaan separa sedar akibat
kecederaan dalaman, iaitu hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya.
Justeru, dalam keadaan separa sedar tersebut, sudah tentu mustahil
untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang,
sekali gus menjelaskan mengapa tiadanya sebarang kesan kecederaan
mempertahankan diri pada tubuh badannya. Manakala bagi kecederaan
ditarik pula, terdapat kesan luka sagat sepanjang 15 cm pada pinggang
arwah, yang konsisten dengan kesan ditarik, dan 3 butang jaket celoreng
bomba arwah yang terputus. Keterangan daripada 3 orang saksi utama
berbangsa India juga menyatakan bahawa ada yang melihat aksi-aksi dan
gerakan-gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh sekumpulan
20-30 orang lelaki yang sedang mengerumuni Adib disamping mendengar
ayat-ayat dalam bahasa Tamil seperti ‘Bodoh, bomba pun mau
pukul ke?’ ‘Jangan pukul!’ dan ‘Berani kamu Melayu masuk kawasan sini’.
Seorang daripada saksi utama ini juga telah melakonkan semula bagaimana
bahunya telah disepak pada waktu beliau secara kebetulan terjatuh atas
tubuh Adib. Sekiranya beliau tidak terjatuh atas tubuh Adib pada ketika
itu, sudah tentu sepakan itu mengenai badan Adib.
Perlu ditekankan di sini bahawa Mahkamah Koroner telah pun memberikan dapatannya mengenai punca dan sebab kematian arwah Adib. Memandangkan keputusan tersebut tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ianya adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia ‘dua atau lebih orang’ yang menyebabkan kematian arwah Adib, dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan Mahkamah. Justeru itu, kami dengan tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu ‘pasukan kajian semula’.
Cubaan oleh KPN untuk menidakkan kewujudan ‘dying declaration’ dan menuduh kononnya ia baru ditimbulkan sekarang, serta mempersoalkan pula seolah-olah ianya diada-adakan, adalah satu lagi kenyataan tidak bertanggungjawab. ‘Dying declaration’ tersebut telah pun dikemukakan sebagai ekshibit I 31, di mana ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), pada 12 Disember 2018, Adib ada memberikan keterangannya kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya. ‘Dying declaration’ arwah juga diberikan kepada staf IJN pada waktu dan hari yang lain, yang mana staf IJN tersebut telah dipanggil menjadi saksi di dalam prosiding Inkues. Kedua-dua ‘dying declaration’ ini mengesahkan dirinya telah ditarik keluar dari van EMRS, dan kemudian dipukul.
Institut Jantung Negara tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kononnya arwah Adib tidak dapat berkomunikasi dengan efektif sepanjang dirawat di IJN. Bahkan hakikatnya bapa arwah
Adib dan keluarga yang lain berada di IJN sepanjang tempoh masa Adib dirawat, dan mereka mengesahkan bahawa terdapat satu peringkat di mana arwah menunjukkan peningkatan kesihatan yang baik, serta dapat berkomunikasi dengan baik. Malah apabila ahli keluarganya datang melawat, Adib sendiri dapat bertanya khabar, serta pernah meminta kebenaran staf IJN untuk menonton perlawanan bola sepak.
Adalah amat mengecewakan kerana kenyataan media KPN untuk menerangkan perkembangan siasatan pembunuh Adib, ternyata telah hanya mendedahkan kejahilan KPN dan PDRM terhadap fakta terperinci kes ini. Sekiranya KPN membaca Nota Keterangan, Alasan Penghakiman penuh dan meneliti semula semua Ekshibit Mahkamah, kami yakin KPN tidak akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti yang telah diungkapkannya.
Kami juga mempunyai maklumat bahawa dakwaan KPN kononnya PDRM telah memanggil sekali lagi kesemua 30 saksi inkues adalah tidak benar, kerana bapa arwah Adib sendiri tidak pernah dipanggil semula dan terdapatnya saksi utama lain yang juga tidak dipanggil sehingga ke hari ini. Ini menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan siasatan dan sebaliknya memberikan alasan kononnya telah menemui jalan buntu, berbohong kononnya telah ‘exhausted all means’, tanpa mengerahkan usaha yang sebenar-benar untuk mendapatkan keadilan untuk Adib.
Peguam keluarga arwah Adib:
MOHD KAMARUZAMAN A. WAHABAHMAD TAUFIQ BAHARUM
SYAZLIN MANSOR
MOHD ZUBIR EMBONG
MOHD TAJUDDIN ABD RAZAK
AHMAD LUTFI AWANG
MOHAMMED ZAMRI IBRAHIM
YAHAYA OTHMAN – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan