PETALING JAYA: Kerajaan membenarkan kejohanan sukan tempatan yang membabitkan sentuhan fizikal mulai 15 Ogos dengan syarat pematuhan tatacara prosedur operasi standard (SOP) dan tanpa kehadiran penonton.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata antara kejohanan dibenarkan adalah liga bola sepak Malaysia yang membabitkan Liga Super dan Liga Premier, selain liga sepak takraw, bola keranjang, ragbi dan hoki.
“Penganjuranya harus dalam keadaan terkawal, setiap pemain perlu memasukkan maklumat di aplikasi My Sejahtera, disaring suhu badan serta gejala, bilangan petugas dihadkan mengikut keluasan dan peralatan digunakan perlu dinyah kuman selepas digunakan.
“Tiada perhimpunan ramai dibenarkan, tidak juga dibenarkan kehadiran peserta dari luar negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Ismail berkata, penganjuran kejohanan tempatan yang tidak membabitkan sentuhan fizikal seperti sukan permotoran, perseorangan badminton, tenis, gimnastik dan terjun pula dibenarkan bermula 15 Julai ini.
“Kita membenarkan sukan lumba motosikal dan kereta diadakan di Litar Antarabangsa Sepang dan litar yang lain,” katanya.
Katanya, kerajaan juga membenarkan orang ramai melakukan aktiviti sukan berpasukan mulai 15 Julai.
“Serentak itu pengusaha padang komersial, gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi boleh beroperasi pada tarikh sama,” katanya.
Ismail berkata, kerajaan juga bersetuju membenarkan pembukaan semula pusat hiburan keluarga bermula 15 Julai selepas mengambil kira lebih 3,000 tenaga kerja yang terbabit dalam sektor itu.
“Ini membabitkan kelulusan taman permainan ‘indoor’, hiburan pendidikan, gym permainan kanak-kanak dan pusat karaoke keluarga,”
Bagaimanapun katanya, operasi pub dan disko masih tidak dibenarkan.
Mengenai had maksimum 250 peserta dalam sesebuah seminar atau perhimpunan, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan had maksimum 1/3 yang ditetapkan sebelum ini dan had maksimum peserta kini bergantung pada kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial bermula 15 Julai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan