Rabu, 1 Julai 2020

ATM tegas tidak lindungi pegawai, anggota terlibat penyeludupan

azrulhakimie


Jika ada bersengkokol tiada kompromi dalam perkara ini

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai atau anggotanya yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang ke negara ini, kata Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang bersekongkol dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara.

“Jika ada yang bersengkokol, kita (ATM) tidak akan beri peluang dan ruang lagi dalam ATM, tiada kompromi dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan daripada Ketua Pengarah Operasi Syarikat PT Bayan Resources Lim Chai Hock di Wisma Pertahanan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan lima anggota tentera yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang baru-baru ini dan polis masih menjalankan siasatan lanjut.

“Mereka ini masih dalam tahanan polis, biar polis siasat dan kita lihat bagaimana hasilnya,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, seramai 111 dalang dan ahli sindiket penyeludupan manusia termasuk 24 pegawai polis, tentera dan Jabatan Imigresen (JIM) ditahan Bukit Aman dalam satu operasi khas pada 4-20 Jun lepas.

Semua mereka dipercayai daripada tiga kumpulan sindiket dikenali sebagai Geng Otong, Geng Halim dan Geng Husen Maungdaw yang turut terbabit dalam aktiviti jenayah terancang lain di Johor, Perak dan Pulau Pinang.

Terdahulu, ATM menerima sumbangan berbentuk satu juta keping pelitup muka dan 15,000 set pakaian PPE bagi keperluan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan. – Bernama

Tiada ulasan: