Selasa, 21 Julai 2020

Adakah impak ekonomi akan dirasai sepenuhnya pada September?

Subsidi gaji dan moratorium bayaran pinjaman antara insentif yang akan berakhir
pada September.

PETALING JAYA: Ahli ekonomi bersetuju dengan peringatan seorang timbalan menteri yang kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 mungkin hanya dirasai sepenuhnya pada September.

Timbalan Menteri Kewangan Abdul Rahim Bakri berkata pada Sabtu, walaupun terdapat tanda awal pemulihan ekonomi, “kebimbangan sebenar” akan muncul pada September dengan berakhirnya insentif kerajaan bawah program rangsangan ekonominya.

Kerajaan meluluskan RM7.79 bilion untuk lebih 2.53 juta pekerja bawah program subsidi gaji, dengan pembayaran bernilai RM6.82 bilion yang memberi manfaat kepada 2.49 juta pekerja.

Program itu akan berakhir pada September, bulan sama berakhirnya moratorium pembayaran pinjaman dan pembiayaan serta kemudahan i-Lestari.

Felo penyelidik di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi Carmelo Ferlito berkata, langkah rangsangan fiskal seperti subsidi hanya bersifat sementara. Ramai orang tidak menyedari skala sebenar kemerosotan ekonomi.

“Terdapat risiko serius yang situasi pasca-rangsangan mungkin lebih buruk dari sebelumnya kerana permintaan disokong secara artifisial dan sokongan seperti itu tidak dapat bertahan selamanya.

“Beberapa ahli ekonomi termasuk saya menyatakan beberapa bulan lalu perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kita hadapi berdasarkan analisis ‘trade-off’ yang lemah, dan kini kebenaran terserlah,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kesan negatif daripada PKP secara tidak seimbang lebih tinggi daripada pandemik Covid-19 itu sendiri, mengatakan “lockdown” seharusnya dielakkan.

“Pembendungan virus bukan disebabkan oleh ‘lockdown’, kerana negara yang menerapkan langkah sama gagal menangani virus itu,” tambahnya.

Putrajaya digesa pakar ekonomi dan penganalisis supaya melanjutkan tempoh moratorium pinjaman bank selama 6 bulan. Namun, Ferlito berkata kerajaan tidak boleh melaksanakan pelanjutan yang sama dengan program subsidi upah.

Sementara itu, penyelidik dari Akademi Sains Malaysia Madeline Berma, meramalkan Putrajaya tidak akan melanjutkan moratorium pinjaman selepas September kerana ia sebahagian daripada dasarnya.

Bagaimanapun, katanya bank masih boleh memilih untuk melanjutkan moratorium peminjam berdasarkan kes.

“Ia bukan polisi menyeluruh tetapi berdasarkan keperluan dan kemampuan pembayaran balik oleh peminjam individu.

“Perniagaan dan sektor paling terkesan oleh PKP harus diberi keutamaan untuk melanjutkan moratorium mereka,” katanya.

Tiada ulasan: