KUALA LUMPUR – Ketua pasukan pembelaan perbicaraan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB), Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ini berikutan tindakan pihak pendakwaan yang akan memfailkan
prosiding menghina terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak berhubung sebuah artikel di agensi berita antarabangsa, Reuters
baru-baru ini.
Reuters melaporkan Najib sebagai berkata, perbicaraan 1MDB dikaitkan
dengan penyelewengan RM2.3 bilion yang membabitkan dirinya sedang
berjalan secara tidak adil.
Justeru Timbalan Ketua Pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram
memaklumkan pihaknya akan memfailkan prosiding menghina mahkamah kerana
penyiaran artikel tersebut.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee kemudian bangkit dalam nada suara lantang menyoal mengapa pula tidak ada sebarang tindakan menghina diambil terhadap Mahathir yang kerapkali menuduh anak guamnya sebagai pencuri dan penyangak.
Walhal katanya, kes masih lagi berjalan ketika ini berhubung tuduhan-tuduhan itu sebaliknya Mahathir pula dilihat begitu ‘kebal’ sesuka hati menuduh dan memfitnah Najib dan kemudiannya terlepas begitu sahaja.
“Malah semalam juga beliau ada mengeluarkan kenyataan kononnya Riza (Aziz) mencuri dan boleh memulangkan sebahagian daripadanya. Beliau seringkali memanggil anak guam saya sebagai penyangak, pencuri dan sebagainya.
“Mengapa tidak pula sesiapa ambil apa-apa tindakan? Tun Mahathir nampaknya sentiasa terlepas.
Mungkin dengan perubahan kerajaan pada masa ini, ada juga ruang untuk
mengambil tindakan seperti ini terhadapnya pula,” jelasnya. Beliau berkata demikian dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin
Lawrence Sequerah ketika perbicaraan 1MDB yang masuk hari ke-36 hari
ini.
Sebelum ini, pada 4 Mac lepas, Reuters melaporkan Najib berharap akan
ada masa untuk beliau mendapat perbicaraan lebih adil serta suasana
kondusif selepas perubahan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)
kepada Perikatan Nasional (PN).
Perbicaraan bersambung dengan Muhammad Shafee menyoal balas bekas Ketua Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi. -MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan