Jumaat, 29 Mei 2020

Ubah Buku Teks Sejarah: Aktivis PH Mahu Perjuangan Komunis Diiktiraf

malaysiapolitik.com



Harapan (PH) menilai semula buku teks sejarah yang sedia ada dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah itu.

Menurut aktivis PH, Fadiah Nad­wa Fikri, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dia yang juga seorang peguam menjelaskan, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.

“Saya tidak mengatakan buku-buku teks ini salah, cuma, terdapat fakta-fakta yang tidak tepat dan perlu diubah (dengan memasukkan) sejarah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).
“Fakta yang ada (dalam buku teks Sejarah) mengenai satu pihak (sahaja), sedang dalam perjuangan kemerdekaan ada banyak pihak lain yang terlibat,” katanya selepas forum itu.
Tambahnya, kerajaan tidak perlu takut untuk memasukkan sejarah perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri kerana ini adalah perkara yang telah berlaku pada masa lampau dan telah direkodkan.

Di dalam forum yang diadakan sempena program A People’s History of Malayan Emergency itu, Fadiah Nadwa turut menyatakan PKM memperjuangkan keadilan sosial, demokrasi tulen dan keamanan dunia.

Pendapat sama turut diberikan oleh seorang lagi panelis, Fahmi Reza yang mendakwa buku teks sedia ada merupakan satu alat propaganda politik kerajaan sebelum ini.

Pereka grafik itu turut mempertikaikan kredibiliti penulis buku-buku Sejarah tersebut adalah ahli parti kerajaan pemerintah sebelum ini.

Fahmi menegaskan, buku-buku tersebut sepatutnya menjadi naskhah sejarah sebenar dan tidak seharusnya dijadikan alat propaganda politik oleh mana-mana pihak terutamanya oleh kerajaan baharu.

“Saya sendiri akan menentang jika kerajaan baharu ini melakukan demikian (menjadikan buku teks tersebut propaganda politik).

“Lebih baik tidak payah ditulis semula jika buku-buku sejarah ini akhirnya hanya akan menjadi alat,” katanya.

Rancangan dan usaha untuk iktiraf perjuangan Komunis itu bagaimanapun telah dibantah sekeras-kerasnya oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) yang mewakili lebih 70,000 ahli.



Presidennya, Ismail Abidin menegaskan, tindakan kejam komunis yang membunuh rakyat tanpa mengira kaum termasuk anggota tentera dan polis sama sekali tidak boleh dimaafkan sampai bila-bila.

Katanya, usaha pihak tertentu untuk mengiktiraf perjuangan komunis itu bukan sahaja biadab sebaliknya merupakan langkah yang tidak masuk akal selain boleh mengguris perasaan rakyat di negara ini khususnya anggota keselamatan.
“Kita memang menentang habis-habisan sebarang usaha mengiktiraf perjuangan komunis ini. Jangan sesekali ubah sejarah mengenai komunis ini, komunis ini semua sedia maklum adalah satu gerakan yang jahat dan kejam.
Ramai pejuang kita mati kerana kekejaman komunis ini, tiba-tiba hari ini ada pihak lain pula yang hendak terima perjuangan komunis ini,” katanya.

Ismail yang juga Yang Dipertua PVATTBM cawangan negeri berharap kerajaan Pakatan Harapan tidak melayan atau sesekali terpengaruh dengan gesaan pihak tertentu untuk mengiktiraf perjuangan komunis.

Sementara itu, UMNO juga menentang sekeras-kerasnya tindakan pihak yang mahu menghidupkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) di negara ini.


Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, tindakan berkenaan hanya akan membangkitkan api kemarahan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Katanya, pada masa sama tindakan itu akan berbahaya kepada sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Tindakan itu juga bahaya kepada sistem Raja Berperlembagaan di negara ini dan UMNO tidak boleh bertolenrasi dengan perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.

Annuar berkata, kerajaan diminta mengambil tindakan tegas dan tidak berdiam diri dengan menyatakan perkara itu adalah kebebasan untuk bersuara.

Katanya, UMNO tidak akan berdiam diri terutama dalam usaha menukar fakta sejarah ini.

“Memang betul PKM menentang Jepun bersama dengan Parti Perikatan, tetapi mereka tidak mahu merdeka mengikut cara yang diinginkan sebaliknya mahu mengambil tindakan bersenjata.

PKM ketika itu mahu menjadikan Malaya sebagai sebuah republik dan perkara itu ditentang Parti Perikatan. Ini fakta yang sebenar, jangan hendak mengubah sejarah… apa tujuan pun saya tidak tahu,” katanya.

“Saya berani untuk berbahas fakta sejarah ini, jangan cuba hendak mengubah fakta dan cubaan ‘testing the water’. Ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.

Tiada ulasan: