TULISAN saya agak panjang kerana saya perlu menulis sejarah lima tahun.
Ramai fikir saya keluar BERSATU kerana kecewa disingkir sebagai Ketua Srikandi pertama, walhal penyingkiran berlaku pada 25 Disember 2016 sedangkan saya keluar BERSATU pada 16 September 2017.
Jika benar saya kecewa, saya tidak akan menunggu sehingga 10 bulan untuk membuat keputusan keluar parti.
Ada dua sebab utama kenapa saya keluar BERSATU:
1. Saya telah mendapat bukti bahawa Tun Dr. Mahathir telah memfitnah Datuk Seri Najib berkaitan 1MDB, SRC International, derma politik RM2.6 billion, kes pembunuhan Altantuya dan segala propaganda jahat melalui Sarawak Report, WSJ dan DOJ.
2. Saya curiga dengan pembahagian kerusi untuk ditandingi di PRU14 apabila DAP mendominasi kerusi-kerusi jamin menang dan PPBM perlu mengambil kerusi jamin kalah dari AMANAH dan PKR setelah DAP tidak mahu undurkan walau satu pun kerusinya untuk PPBM. (Natijahnya DAP menang 49 kerusi dan PPBM hanya menang 13 kerusi)
Sekali lagi saya tegaskan, saya tidak gila jawatan kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri menjadi saksi bagaimana saya menolak jawatan Ketua Srikandi Malaysia dua kali sejak awal.
Saya tidak berjuang untuk jawatan dan saya tidak berminat untuk memegang jawatan politik, maka hingga hari ini juga saya kekal sebagai non partisan.
Sifat manusia tidak semua sama tetapi Tun Dr. Mahathir meletakkan saya sama seperti dirinya yang tidak pernah jemu untuk terus mahu menjadi Perdana Menteri.
“Saya kata mereka ini adalah ‘sampah’. Saya tidak minta maaf. Mereka lebih buruk dari musuh kita. Mereka mengkhianati perjuangan suci kita.” – ucapan Dr. Mahathir pada 30 Disember 2017 di Perhimpunan Agung PPBM pertama di Shah Alam.
Ya Tun Dr. Mahathir tidak pernah meminta maaf dari saya malah saya difitnah pula menerima imbuhan RM5 juta, dua buah rumah, sebuah Velfire dan seorang pemandu yang dibayar gaji oleh UMNO untuk menentang beliau.
Saya dimaki, dicerca, dihina oleh rakyat kerana saya menuntut bela untuk Datuk Seri Najib atas dasar tanggungjawab selepas saya sedar semua fitnah ke atas beliau.
Betapa zalimnya saya diperlakukan hanya kerana saya tidak lagi menyokong Tun Dr. Mahathir.
Saya imbau kembali sejarah.
Ketika saya keluar PPBM pada 16 September 2017, Tun Dr. Mahathir kata “jika ada sampah, kita kena sapu ianya keluar”.
Saya jawab: “Ini kali pertama saya dengar sampah keluar dari tong sampah”.
Tiga tahun kemudian, hari ini 28 Mei 2020 “tong sampah pula kena campak keluar”.
Perlu saya ingatkan, saya tidak dipecat tetapi saya membuat keputusan keluar parti. Jika benar saya sampah takkanlah sampah boleh keluar sendiri dari tong sampah?
Saya bukan sampah tetapi tong sampah adalah orang yang menganggap semua yang tidak menyokongnya sebagai sampah sambil menganggap dirinya suci.
Maafkan saya jika terkasar bahasa tetapi saya tidak bercakap di luar konteks, saya masih mengikut naratif Tun Dr. Mahathir sendiri.
Saya tidak melabel sesuka hati, saya masih mengikut perlabelan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir sendiri.
Saya orang muda, saya melihat, mendengar dan mengkaji bahasa insan yang lebih tua dari saya.
Saya turut menyaksikan seorang demi seorang yang menganiaya saya tanpa pernah meminta maaf telah tumbang tanpa saya perlu membalas sendiri kerana Allah maha mengetahui dan Allah maha adil.
Allah tahu saya telah diperdaya untuk mempercayai Datuk Seri Najib mencuri dan saya dianiaya atas keikhlasan membantu perjuangan tersebut.
Bercakap tentang penganiayaan, apakah kali ini Tun Dr. Mahathir dianiaya atau beliau menganiaya dirinya sendiri?
Terdahulu, Tun Dr. Mahathir atas kapasiti sebagai Pengerusi BERSATU telah menandatangani perjanjian bersama pemimpin PH dan WARISAN pada 4 Mei 2020.
Tindakan tersebut bertentangan Fasal 10.2.3 Perlembagaan BERSATU yang menyatakan keahlian seseorang ahli parti akan tergugur jika ingkar peraturan parti, termasuk menyertai gabungan parti lain.
Namun tindakan tidak diambil ketika itu.
Pada 18 Mei 2020, Tun Mahathir dan 4 ahli parlimen BERSATU didapati enggan duduk di blok kerajaan dan memilih untuk bersama PH di blok pembangkang ketika sidang Parlimen berlangsung.
Ini bermakna Tun Dr. Mahathir telah mengkhianati parti sendiri dengan menyertai seteru partinya, PH.
Jangan lupa Tun Dr. Mahathir telah menumbangkan kerajaannya sendiri tiga bulan lalu dengan meletakkan jawatan walaupun puas dipujuk oleh YDP Agong.
Ianya kedengaran seperti kesalahan tidak masuk akal yang dilakukan bertubi-tubi oleh Tun Mahathir bukan?
Rumit untuk difahami tetapi saya percaya Tun Dr. Mahathir sendiri tidak memahami apa yang sedang beliau lakukan.
Saya percaya sejarah ini tidak akan dibakul sampahkan walaupun pelakunya telah mengibaratkan dirinya sendiri tong sampah.
Pintu taubat sentiasa terbuka dan jika Tun Dr. Mahathir sedar dugaan Allah ini adalah kerana Allah masih sayangkan dirinya untuk kembali ke landasan yang betul, maka saya doakan Allah merahmati beliau.
Pilihan berada di tangan Tun Dr. Mahathir dan saya atau sesiapa jua pun tidak layak menghakimi beliau kerana Allah lah Tuhan yang maha adil, bukan manusia.
Walau apa jua yang berlaku saya masih menghurmati Tun Dr. Mahathir sebagai Negarawan dan insan yang banyak berjasa kepada negara.
Bersama lah kita bermuhasabah diri dan saya mohon pemimpin hari ini jadikan sejarah sebagai pedoman hidup, bukan menghukum Tun Mahathir tanpa melihat diri sendiri di cermin.
Tun Dr. Mahathir masih pernah berjasa kepada negara dan kita semua.
Sebagai anak murid dan bekas anak emas Tun Dr. Mahathir, saya masih dan akan terus menyayangi beliau.
Saya kacang yang tidak melupakan kulit tetapi ingatlah bahawa jerat juga tidak melupakan pelanduk. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan