Rabu, 27 Mei 2020

Kuat kuasa undang-undang lebih ketat lebih baik daripada gantung jualan alkohol, kata persatuan

Kemalangan yang mengorbankan seorang lelaki di Kuantan semalam. Mangsa
dilanggar oleh pemandu yang melawan arus lalu lintas, dipercayai di bawah pengaruh
alkohol. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persatuan perniagaan menolak cadangan PAS untuk menggantung pengeluaran dan penjualan alkohol sehingga penyelesaian ditemui bagi menghalang pemandu memandu dalam keadaan mabuk dengan berkata, langkah yang lebih diperlukan ialah penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

Ho Su Mong, presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura berkata, masalah itu lebih berkait dengan penguatkuasaan undang-undang, bukannya isu pengambilan alkohol.

Beliau berkata, penguatkuasaan lebih ketat dan hukuman yang lebih berat mampu mencegah dan memaksa peminum berfikir 2 kali sebelum melanggar undang-undang.

“Kita tidak lihat banyak masalah pemandu memandu dalam keadaan mabuk di negara jiran. Penguatkuasaan di sana sangat ketat,” katanya kepada FMT.

Ho berkata hukuman ketika ini untuk pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk terlalu ringan, memandangkan perbuatan itu membahayakan nyawa orang lain.

Katanya, bagi individu yang pertama kali melakukan kesalahan itu sekali pun, hukumannya sepatutnya ialah denda RM100,000, 2 tahun penjara atau kedua-duanya, bagi memastikan peminum sedar betapa seriusnya jenayah berkenaan.

Ho berkata, program tertentu boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dan kesan buruk pemandu mabuk, selain hukuman berat yang akan ditanggung.

“Kita adalah negara berbilang kaum dengan pelbagai kumpulan etnik yang berbeza budaya dan gaya hidup. Ini, saya fikir, adalah langkah lebih positif untuk memperbaiki tabiat buruk mereka yang suka minum (alkohol).

“Di negara berbilang kaum, kita seharusnya tidak bertindak ekstrem.”

Semalam PAS menggesa Putrajaya supaya menggantung pengeluaran dan penjualan alkohol sehingga penyelesaian untuk menghalang perbuatan memandu dalam keadaan mabuk ditemui, berikutan beberapa insiden yang melibatkan pemandu mabuk.

Parti itu mengesyorkan supaya Jabatan Kastam dan pihak berkuasa tempatan menghentikan pengeluaran lesen jualan alkohol dan menghentikan penjualan minuman keras di rangkaian kedai serbaneka 24 jam.

PAS membuat kenyataan itu selepas seorang lelaki di Kuantan terbunuh apabila sebuah kereta melawan yang dipandu oleh seorang pemandu yang dipercayai mabuk, melanggarnya.

Beberapa hari lepas, pemandu sebuah trak pikap, yang dipercayai mabuk, didakwa cuba merempuh pembeli dan peniaga di bazar Ramadan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor.

Sementara itu, pada 3 Mei, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di plaza tol Kajang Selatan di Lebuhraya Lekas meninggal dunia setelah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan 4 roda yang dipandu oleh seorang lelaki yang dipercayai mabuk.


Tiada ulasan: