Rabu, 27 Mei 2020

Arab Saudi tarik balik perintah berkurung kecuali di Makkah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

GLOBAL-Arab Saudi akan mula mengurangkan sekatan pergerakan dan perjalanan minggu ini, lebih dari dua bulan setelah langkah-langkah ketat diperkenalkan untuk membantu mengekang penyebaran wabak koronavirus.

Sekatan akan ditarik semula melalui tiga fasa, dengan perintah berkurung ditamatkan sepenuhnya - kecuali di kota suci Makkah - mulai 21 Jun, lapor agensi berita negara dalam satu kenyataan pada awal Selasa.

Walau bagaimanapun urusan mengerjakan Haji dan Umrah - yang menarik berjuta-juta pelancong dari seluruh dunia - akan terus ditangguhkan sehingga diberitahu kelak.

Arab Saudi setakat ini mencatatkan 74,795 kes Covid-19 dengan 399 kematian. Lebih 2,000 kes masih dilaporkan setiap hari.

Fasa pertama, bermula Khamis ini, akan menyaksikan perintah berkurung sepanjang 24 jam itu dikurangkan antara jam 3 petang hingga 6 pagi di seluruh negara.

Pergerakan bebas antara wilayah dan beberapa aktiviti runcit dan borong, termasuk di pusat membeli-belah, akan dibenarkan untuk disambung semula.

Arab Saudi mengenakan perintah berkurung 24 jam di kebanyakan kota dan bandar tetapi melonggarkannya pada awal bulan Ramadan. Perintah berkurung 24 jam dilaksanakan semula semasa sambutan Aifitri selama lima hari, yang bermula pada Ahad lalu.

Mulai Ahad 30 Mei, pergerakan bebas akan dibenarkan antara jam 6 pagi hingga 8 malam, lapor Agensi Berita Saudi. Penerbangan domestik akan dibenarkan untuk beroperasi semula, tetapi larangan penerbangan antarabangsa akan tetap diteruskan.

Masjid boleh mengerjakan solat sekali lagi, tertakluk pada penjarakan sosial dan kebersihan, kecuali di Makkah.

Kakitangan sektor awam dan swasta akan dibenarkan kembali ke pejabat masing-masing.

Perhimpunan sosial membabitkan lebih 50 orang masih akan dilarang, termasuk majlis perkahwinan dan pengebumian.

Warganegara akan terus diminta memakai pelitup muka di tempat awam dan meneruskan langkah-langkah kebersihan dan penjarakan sosial selepas 21 Jun.- Reuters

Tiada ulasan: