PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin menolak dakwaan beliau sedang menjalani rawatan kesihatan di Singapura.
Muhyiddin yang menjalani pembedahan di Singapura 2 tahun lalu selepas didiagnosis dengan kanser pankreas, berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali.
“Untuk makluman, saya sedang menjalani kuarantin di rumah saya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur,” tulisnya di Facebook hari ini.
Muhyiddin diarah menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari mulai 22 Mei lalu, selepas Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid yang turut menghadiri mesyuarat pasca Kabinet dipengerusikan perdana menteri itu disahkan positif Covid-19.
Tetapi, ujian saringan menunjukkan Muhyiddin tidak dijangkiti Covid-19.
Sementara itu, Muhyiddin berjanji akan memastikan setiap perbincangan dan strategi menentang pandemik Covid-19 diteruskan.
Beliau memaklumkan mengadakan sidang video 40 minit bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah hari ini bagi mendapatkan perkembangan terkini Covid-19 di seluruh negara.
“Beberapa perkara utama dibincangkan, antaranya kempen menggalakkan pemimpin komuniti memperkasa komuniti masing-masing untuk mengambil tanggungjawab melindungi dan memelihara komuniti daripada jangkitan Covid-19.
“Saya percaya kempen ini dapat mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan SOP dipatuhi dan akhirnya meringankan beban petugas barisan depan.”
Katanya, langkah itu penting dalam merangka “exit plan” bagi perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang merupakan kriteria terakhir perlu dipenuhi sebelum ia boleh ditamatkan.
Beliau berkata, sidang video itu turut membincangkan proses penghantaran pendatang tanpa izin yang disahkan negatif Covid-19 ke negara asal.
“Saya sudah mengarahkan proses tersebut dipercepatkan bagi mengurangkan risiko penularan semula Covid-19 dalam kalangan pendatang tanpa izin yang berada di depot tahanan Imigresen.”
Katanya, beliau berpuas hati dengan pencapaian semasa usaha memerangi Covid-19 dan percaya negara mampu menghentikan penularan pandemik itu jika rakyat bekerjasama dan menjaga komuniti masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan