PUTRAJAYA: Kerajaan menarik balik larangan merentas negeri kepada suami atau isteri yang terpisah dengan pasangan dan anak kerana perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata pasangan terpisah itu boleh memulakan perjalanan merentas negeri bermula 1 Jun.
“Setelah nasihat pihak polis, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini bersetuju memberi kelonggaran dalam merentas negeri.
“Dulu rentas negeri pasangan berpisah atau berjauhan kita hentikan sebelum musim perayaan. Larangan itu ditarik balik,” katanya pada sidang media hari ini.
Dalam pada itu, Ismail berkata kelonggaran merentas negeri juga diberi untuk sebab kecemasan, seperti kematian dan perubatan, dan pekerjaan.
“Seperti ulang alik ke tempat kerja kita benarkan, (contoh) duduk di Seremban, kerja di Putrajaya.
“Namun, rentas negeri masih tidak dibenarkan atas sebab-sebab lain,” katanya.
1 kompaun ziarah Aidilfitri
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata polis turut mengeluarkan kompaun kepada 471 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB.
Daripada 300 kompaun yang dikeluarkan di balai polis, 1 kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri.
“Sebanyak 171 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu sebanyak 76 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya,” katanya.
Kelab malam masih tidak dibenarkan
Ismail juga menegaskan kelab malam masih tidak boleh beroperasi dan dalam senarai larangan.
Mana-mana yang buka operasi kelab malam dianggap melanggar undang-undang dan peraturan.
“Jadi saya harap pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera untuk pastikan kelab malam tersebut ditutup kerana melanggar akta dan undang-undang telah kita keluarkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan