Selasa, 26 Mei 2020

Najib soal Teresa: 'Projek Jerantut tak boleh, tapi Ipoh Barat boleh'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan beberapa inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Ipoh yang diumumkan ketika MP Ipoh Barat, M Kulasegaran memegang jawatan menteri sumber manusia.

Ini selepas bekas menteri industri utama Teresa Kok mempersoalkan projek Pusat Teknologi Getah bernilai RM100 juta di Jerantut, yang diumumkan hanya sebulan setelah MP Jerantut Ahmad Nazlan Idris dilantik sebagai pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Pada hantaran di Facebook hari ini, Najib menunjukkan rancangan untuk membina pusat rehabilitasi bernilai RM500 juta yang bakal menjadi paling besar di Asia Tenggara, serta Kaunter Perkhidmatan Rakyat yang dilancarkan sebagai projek perintis di sebuah pasar di kawasan Ipoh Barat .

"Memandangkan menteri sumber manusia DAP kerajaan PH dahulu juga ahli parlimen Ipoh Barat, adakah ini juga contoh lantikan politik yang umumkan projek-projek membazir berunsur politik untuk kawasan parlimen sendiri seperti diselar Teresa Kok hari ini?

"Adakah projek-projek di Ipoh Barat oleh ahli parlimen Ipoh Barat dibenarkan tapi projek di Jerantut oleh Ahli Parlimen Jerantut tidak dibenarkan? Apa pandangan Teresa," katanya

Kaunter Khidmat Rakyat membantu golongan berpendapatan rendah B40 dengan menyediakan perkhidmatan kaunter sementara Perkeso, Jabatan Tenaga Kerja, serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di pasar awam.

Ia dilancarkan sebagai projek perintis di Pasar Kampung Tawas di Ipoh pada 7 Julai 2018 dan akan diperluas ke seluruh negara.

Sementara itu, pusat rehabilitasi itu pula diumumkan oleh menteri kewangan ketika itu, Lim Guan Eng sebagai sebahagian belanjawan 2020 dan akan melengkapkan pusat sedia ada di Melaka dalam membantu pekerja kembali bekerja selepas terlibat kemalangan.

Pusat itu dicadangkan untuk dibina di Ipoh, tetapi tidak jelas sama ada ia akan berada di Ipoh Barat yang kawasan parlimennya diwakili Kulasegaran atau di kawasan lain.

Artikel berita yang dikongsi oleh Najib memetik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mempersoalkan lokasi pusat itu tetapi tidak menyebut secara khusus sama ada ia akan berada di Ipoh Barat.

Kenyataan MTUC pada laporan FMT bertarikh 21 Oktober tahun lalu berbunyi: “Justeru, MTUC menggesa kerajaan untuk menimbang semula penggunaan dana Perkeso bagi membiayai projek Pusat Rehabilitasi di Ipoh kerana ia berisiko menjejaskan kewangan Perkeso.”

MTUC pada laporan itu dipetik "mempersoalkan sama ada projek itu ada kaitan dengan Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran selaku ahli Parlimen Ipoh Barat."

Dua hari sebelum kenyataan MTUC, exco sumber manusia Perak ketika itu, A Sivanesan berkata pusat itu dijangka dibina di kawasan seluas 40.4 hektar di Lembah Kinta serta berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan.

“Beberapa lokasi sudah dikenal pasti dan ia berada dalam peringkat akhir, cuma tinggal kerja tender sahaja,” katanya kepada Bernama.

Awal hari ini, Kok menyoal Nazlan yang dikatakan 'terburu-buru' mendapatkan kelulusan yang diperlukan untuk projek RTC di Jerantut.

MP Seputeh itu juga menyoal keperluan projek itu dibina pada masa sekarang, memandangkan terdapat beberapa pusat teknologi dan penyelidikan getah yang beroperasi sepenuhnya dan masih memiliki kelebihan kapasiti.

Mengenai perkara itu, Najib berkata projek itu bukan sahaja merangkumi pusat teknologi, tetapi juga pusat pelancongan yang dikenali sebagai Bandar Taman Negara dan ladang getah seluas 2,000 ekar (809 hektar).

"Saya tak mahu bincang jika projek pembangunan itu baik atau tak baik walaupun Jerantut itu memang tempat perladangan getah.

"Kita tunggu Lembaga Getah dan pengerusinya jelaskan lebih lanjut tentang projek tersebut dan bagaimana ianya akan menjana peluang pekerjaan baru dan merancakkan ekonomi tempatan pada masa krisis Covid ini," katanya.

Tiada ulasan: