Khamis, 28 Mei 2020

PH semakin menempah kebencian rakyat

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF11042017_IKSIM02-681x454
Dr Kamarul Zaman Yusof

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) akan mengalami penolakan yang hebat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU15) sekiranya desas-desus mengenai peralihan kuasa pemeritahan kembali semula kepada parti itu.

Penganalisis Politik, Dr Kamarulzaman Yusof berkata, rakyat sudah bosan dengan percaturan politik oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang seolah-olah hanya mementingkan diri sendiri untuk mendapat kuasa tanpa memikirkan masa depan negara.

Katanya, ketika masyarakat sudah semakin menerima kerajaan sedia ada yang lebih bertumpu kepada kebajikan rakyat akibat pandemik Covid-19, PH sebaliknya memintas tanpa sedar mereka sebenarnya menempah kebencian rakyat hanya semata-mata mahu melepaskan dendam selepas ditumbangkan pada Mac lalu.

“Masalah tidak akan selesai jika ada yang membuat gerakan bagi mengganggu kepimpinan negara ketika ini.

“Sedangkan rakyat sudah semakin menerima kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Jadi jika keadaan begini berterusan PH akan mengalami penolakan hebat pada PRU15,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, tidak sepatutnya bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membiarkan perkara itu berlaku kerana ia hanya akan menyebabkan ketidaktentuan dalam kalangan masyarakat dan boleh menyebabkan kacau bilau disebabkan mereka tidak pasti tentang apa yang berlaku..

“Sedangkan baru-baru ini pun Yang di Pertuan Agong telah menasihatkan kepada pemimpin politik supaya tidak lagi membuat apa-apa yang boleh menjejaskan kedudukan politik negara.

“Sewajarnya beliau sebagai seorang negarawan (Dr Mahathir) menasihatkan pemimpin-pemimpin pembangkang lain supaya tidak membuat desas-desus begini.

“Tambah lagi negara masih lagi dalam pandemik Covid-19 yang memerlukan seluruh negara ditumpukan untuk menanganinya,” ujarnya.

Kamarulzaman menegaskan, jika benar ura-ura yang ditimbulkan oleh pembangkang mengenai gerakan itu wujud, ia boleh diibaratkan sebagai “tikam belakang” kerana Perdana Menteri sendiri kini sedang dalam tempoh isolasi selepas terpaksa menjalani kuarantin selama 14 hari ekoran Covid-19.

Apa yang terpaksa dilalui Muhyiddin itu telah mengehadkan pergerakannya dan beliau tidak mampu untuk memberikan tindak balas meskipun menjawab sebarang persoalan yang berlaku.

“Sangat tidak kenalah bila gangguan terhadap kedudukan dan dalam keadaan beliau (Muhyiddin) tidak mampu menjawab atau membuat tindak balas.

“Sepatutnya berilah simpati kepada keadaan beliau yang terpaksa bersendirian disebabkan kebimbangan bahawa beliau terpaksa berhadapan dengan covid-19 ini. Jadi, bila dibuat tindakan begini rakyat akan bersimpati kepada Perdana Menteri kita,” katanya.

Tambah Kamarulzaman lagi, Dr Mahathir cuba mengulangi apa yang telah dilakukannya pada 2016 ketika beliau keluar dari UMNO dan selepas anaknya Datuk Seri Mukhriz dicantas kedudukan sebagai Menteri Besar Kedah ketika itu.

Katanya, Dr Mahathir telah mungkir sekali lagi kepada janjinya untuk berehat daripada arena politik meskipun perkara itu telah acapkali keluar dari mulutnya.

Beliau menambah, Ahli Parlimen Langkawi itu cuba memberikan gambaran bahawa beliau akan menuntut bela untuk anaknya jika ada pihak yang menjatuhkan kedudukannya.

Hari ini, sebuah akhbar berbahasa Cina Sinchew Daily melaporkan, Dr. Mahathir sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional, dan beliau hanya memerlukan tiga kerusi untuk mencapai hasrat itu.

Menurut laporan itu, sudah ada desas-desus mengenai kejayaan Dr. Mahathir menambat hati tiga wakil rakyat yang diperlukan, malahan tiga penyokong itu dikatakan berstatus menteri dan timbalan menteri.

Difahamkan, Dr. Mahathir sedang berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, termasuk mempertimbangkan Ketua Menteri Sabah tersebut sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya berjaya merampas semula kuasa pentadbiran negara. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: