Isnin, 25 Mei 2020

Hero banjir P Pinang masih mengharap status warganegara, rumah

Sapno Tukijo melaungkan azan untuk solat asar di Masjid Kapitan Keling di George
Town, Pulau Pinang. Setelah 30 tahun berkahwin dengan rakyat tempatan dan
membesarkan 6 anak, dia masih tidak memperoleh kewarganegaraan.

GEORGE TOWN: Seorang hero yang tidak diduga muncul dalam banjir terburuk yang pernah melanda Pulau Pinang.

Sapno Tukijo menjadi tajuk berita selepas beliau menyelamatkan dan melindungi mangsa banjir bukan Islam di tingkat atas surau di Taman Free School ketika banjir besar melanda Pulau Pinang pada 2017.

Berikutan itu banyak pujian diterima dari seluruh negara, yang menyifatkan muazin surau itu sebagai ikon dan hero perpaduan selepas beliau bertarung dengan air deras untuk menyelamatkan hampir 70 jiran daripada lemas.

Sehingga saat itu, Sapno yang dilahirkan Indonesia sudah menunggu selama puluhan tahun untuk mendapatkan status penduduk tetap di Malaysia.

Dalam pada itu, selepas bencana dan jasa dicurahkannya, permohonan penduduk tetap Sapno (PR) telah dipercepatkan.

Beliau mendedahkan usahanya untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan sentiasa gagal, meskipun mengahwini rakyat Malaysia hampir 30 tahun, dan membesarkan 6 anak yang mendapat taraf warga negara yang berusia 9 hingga 24 tahun, 4 daripada mereka mendapat biasiswa ke universiti.

Sapno Tukijo dan isteri Norlia Mohamed Noor di asrama
satu bilik mereka di pekarangan Masjid Jalan Acheen.

Selepas berjaya mendapat status PR, Sapno diberi jaminan akan mendapat status kewarganegaraan selepas itu, iaitu 2 tahun lalu.

Kini berusia 53 tahun, Sapno yang bertugas sebagai pengawal keselamatan dari 7 malam hingga 7 pagi setiap hari di Masjid Kapitan Keling di Georgetown, meraih pendapatan sebanyak RM1,200 untuk menyara ahli keluarganya seramai 6 orang.

Pada waktu siang, Sapno mengutip zakat fitrah di luar masjid. Dari semasa ke semasa, ketika diperlukan, beliau turut menjadi muazin untuk masjid itu.

“Saya suka kerja saya. Saya mahu bekerja untuk Allah,” katanya kepada FMT. “Masjid ini seperti rumah saya.”

Sapno gembira kerana tidak perlu pulang ke rumah asramanya di Masjid Acheen Street pada waktu malam yang sesak dengan katil anak-anaknya.

“Saya tinggal di masjid untuk memberi anak-anak lebih banyak ruang di rumah.”

Ketika beliau masih muda, kerajaan Indonesia menggalakkan rakyatnya untuk bekerja di Malaysia menyebabkan Sapno meninggalkan kampung halaman di Riau, Sumatera menuju ke Kuala Lumpur pada 1987.

Sapno Tukijo menerima anugerah khas daripada
Christian for Peace and Harmony di Malaysia pada
Disember 2017 atas bantuan yang dihulurkan ketika
banjir sebulan sebelum itu.

Beliau bertemu isterinya yang berasal dari Pulau Pinang, Norlia Mohamed Noor, kini berusia 55 tahun, di Kuala Lumpur.

Pada pertengahan 1990-an, mereka berpindah ke Pulau Tikus, Pulau Pinang untuk lebih dekat dengan keluarga Norlia.

Mereka berpindah ke sebuah rumah di Taman Free School beberapa tahun kemudian. Di sana, pengerusi surau meminta Sapno untuk menjadi muazin dan sejak itu beliau memegang jawatan itu.

Tetapi rumahnya di situ terletak di lokasi banjir kilat terburuk di Pulau Pinang.

“Selepas banjir itu kami memutuskan tak tak sanggup lagi. Kami berpindah ke unit kecil yang kami duduki sekarang. Kami masih bimbang ketika hujan, tetapi kami tiada tempat lain untuk dituju kerana kami tidak mampu membayar sewa,” katanya.

“Kami memohon untuk flat sewa kerajaan yang murah sejak 2017, tetapi selalu dimaklumkan bahawa ada orang yang lebih layak daripada kami.”

Sapno Tukijo menunjukkan gambar anak-anaknya
di universiti, dan gambarnya bersama kenamaan selepas
beliau meraih populariti ketika banjir 2017.

Lebih daripada semua yang itu, Sapno amat berharap untuk menjadi warganegara Malaysia.

Salah satu kelebihan yang akan diperoleh selepas memperoleh status kewarganegaraan ialah beliau boleh menjadi muazin yang berdaftar dengan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang.

Tidak ada sesiapa yang boleh menyalahkannya kerana bertanya sama ada hari itu akan tiba, tetapi Sapno tetap sabar.

Ketika ditanya apakah beliau sudah menyerah kalah, Sapno menjawab, “Tak apa, saya boleh menunggu. Siapa tahu, Allah akan penuhi hajat saya untuk menjadi warganegara Malaysia pada Hari Raya ini.”

Tiada ulasan: