SEJAK awal 2009, Ustaz Hassan berulang-alik ke Jalan
Raja Laut kerana sibuk mendrafkan peraturan bagi menubuhkan Dewan
Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Selepas berbincang mengenai hal itu di
bilik saya, Ustaz dan saya sering ‘melepak’ di bilik Arwah Pak Syed
(Syed Mohamad Syed Hassan) di Pejabat Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Pak Syed bukan sahaja Pegawai Jabatan Pilihan Raya, tetapi juga
merangkap Setiausaha Jabatan Pilihan Raya. Dia banyak akses dengan
pimpinan dan banyak tahu mengenai maklumat-maklumat ‘bawah tanah’ parti.
“Ana
dah kata dulu, sepatutnya kita tidak terima jawatan Menteri Besar,
kalau nak juga bentuk Kerajaan. Kita minoriti, kalau Kerajaan yang kita
pimpin jatuh, imej kita rosak,” rungut Pak Syed di hadapan saya dan
Ustaz di dalam bilik yang mengadap lorong-lorong gelap itu.
“Dah kita nak berpakat, nak buat macam mana,” saya menongkah Pak Syed.
“Enta
tahu tak, Kerajaan PR (Pakatan Rakyat) Perak itu dibentuk bukan dengan
keputusan jamaah. Itu hasil perbuatan pemimpin yang bertindak dengan
kepala sendiri,” Pak Syed pula membantah saya. Perbualan kami sebenarnya
terfokus kepada isu kejatuhan Kerajaan PR Perak pada 4 Februari 2009
akibat tindakan beberapa wakil rakyat PKR dan DAP melompat parti.
“Apa cerita sebenar Pak Syed?” saya mula mencari kepastian.
“Pada malam Pilihan Raya (2008) itu, bila confirm BN tak boleh bentuk Kerajaan di Perak, ana dimaklumkan yang (Tan Sri) Tajol Rosli (Ghazali, Menteri Besar Perak) telah hubungi (Datuk) Husam (Musa). Minta PAS dan BN bentuk Kerajaan campuran, elak dari DAP jadi Kerajaan. Masa ini PAS takde kerjasama dengan DAP. DAP dah keluar BA (Barisan Alternatif) sejak zaman Ustaz Fadzil (Mohd Noor) lagi. Husam setuju idea campuran PAS-BN ini… Sebab Umno tawar PAS jadi Menteri Besar.
“Husam minta persetujuan Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat). Tok Guru pula takde masalah, tapi dia minta Husam rujuk dengan Tok Guru Haji Hadi (Awang). Masa ini Tok Guru duk sibuk sebab Ustaz Azizan (Razak) nak form Kerajaan di Kedah. (Datuk Seri Dr) Khir Toyo pun sibuk ajak PAS berunding di Selangor. Tok Guru kirim Roslan (SMS) untuk dengar tawaran Khir Toyo, sebab masa ini Roslan itu SU Akhbar Presiden. Tapi Tok Guru Haji Hadi beri lampu hijau untuk Husam berunding.
“Masa tengah kelam-kabut ini, DAP cari (Ustaz) Mat Awang. Sebab dia Pesuruhjaya (PAS) Perak. Mat Awang pula, dengan takde sebarang keputusan pimpinan parti, gi berunding dengan DAP, sedangkan DAP dah khianat kita masa Pilihan Raya Sarawak (2001). Rundingan Mat Awang ini lah yang menyebabkan usaha Husam berunding dengan Tajol Rosli terhenti. Lepas itu bentuk Kerajaan. Kita yang minoriti ini jadi Menteri Besar. Dari segi politik, kita jerat leher sendiri,” panjang Pak Syed membuka cerita sulit mengenai asal-usul pembentukan Kerajaan PR Perak.
“Habis itu… orang duk kata Tok Guru Haji Hadi yang nak berpakat dengan Umno itu tak betullah. Maknanya, bukan Tok Guru yang mula,” saya panasaran sebab sudah banyak fitnah tersebar ketika itu, bahawa Tuan Guru Haji Hadi Awang yang beriya-iya nak ‘berpeluk’ dengan Umno, sedangkan sebelum idea UG, dah ada orang lain yang berunding dengan Umno.
“Enta kena faham,” hentak Pak Syed. “Ini politik dia orang. Kalau usaha mereka dengan Umno berjaya, maka kerjasama dengan Umno itu jadi baik. Sebab idea mereka itu tak laku, gagasan Tok Guru yang laku, mereka kata kerjasama dengan Umno itu jahat. Sama macam kerjasama dengan DAP, bila masa PAS Pusat setuju? Lepas Perak bentuk Kerajaan, baru PAS setuju masuk PR kan? Tapi semua macam baik sebab itu kerja puok dia,” marah betul Pak Syed terhadap sikap talam dua muka mereka dalam hal ini.
“Sebab itu lah, bila kita tak ikut jamaah, hilang berkat. Tengok… hari ini Kerajaan dah jatuh,” tegas Pak Syed lagi.
“Orang kita ini… banyak yang tak ambik pengajaran,” tiba-tiba Ustaz Hassan menyampuk.
“Kita dah ada pengalaman, wakil rakyat kita diculik, lepas itu jatuh Kerajaan di Terengganu tahun ’61 dulu. Di Kelantan pun pernah berlaku tahun ’68. Dah tahu Kerajaan kita itu simple majoriti, kena berjaga-jaga. Jangan main-main pasal keselamatan ini. Orang boleh buat macam-macam,” Ustaz mula menghubungkan kisah penculikan wakil-wakil rakyat di Perak dengan pengalaman lama PAS.
Kes penculikan wakil rakyat Perak berlaku pada 24 Januari 2009. Empat ADUN iaitu Datuk Nasharuddin Hashim (ADUN Bota yang menyertai PKR dari Umno), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang – Exco dari PKR), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering – Exco dari PKR) dan Hee Yit Fong (Jelapang dari DAP) telah hilang. Seminggu kemudian, mereka meletak jawatan dan keluar parti. Pada 4 Februari 2009, mereka mengumumkan sokongan kepada BN yang menyebabkan Kerajaan PR Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin jatuh.
“Macam mana cerita penculikan wakil rakyat kita tahun ’68 itu, Ustaz? Tapi Kerajaan kita tak jatuh kan?” saya mula mendesak Ustaz untuk membuka kisah yang berlaku di Kelantan pada 1968. Kisah pembentukan Kerajaan PR Perak yang penuh persoalan itu terhenti seketika, tetapi bersambung semula kemudiannya, hinggalah kisah Tok Guru Haji Hadi dijemput Pak Lah Badawi ke Putrajaya dan cadangan Kerajaan Perpaduan (UG) dan Kerajaan 16 September Anwar Ibrahim.
“Masa ana baru sampai dari Baghdad, pada 15 Ogos ’68,” Ustaz dah balik semula ke zaman 1960-an. “Kami sampai itu dalam suasana politik yang kelam-kabut. Semua paper, radio, TV bercakap tentang wakil rakyat PAS Kelantan lompat parti. Kerajaan PAS Kelantan akan tumbang. Perikatan akan ambil alih Kerajaan. Semua cerita tentang hal itulah,” Ustaz mula membuka kisahnya.
“Macam mana benda ini boleh berlaku, Ustaz. Masa ini kita menang besar juga kan?” saya bertanya puncanya, sebab saya tahu PAS masih menguasai dua pertiga ketika ini. PAS mendapat 21 daripada 30 kerusi DUN pada 1964.
“Masa Pilihan Raya ’64 itu, tiga wakil rakyat kita menang, tapi duk dalam ISA. Ana dengar dalam tahun ’65, mereka bebas. Tapi Saufi (Idris) isytihar masuk Umno. Lepas itu, Saufi itu lah yang pujuk Speaker DUN, Abdullah Yusof keluar PAS. Mungkin ada tawaran bagus dari Umno. Dengarnya salah seorang itu ditawar jadi Menteri Besar. Mereka dua ini lah yang berusaha tarik wakil rakyat PAS yang lain. Dengarnya Umno nak tujuh orang je untuk bentuk Kerajaan. Dua dah dapat, tinggal lima lagi. Surat khabar duk sebut, lapan orang akan lompat.
“Jadi, masa awal Ogos ’68 itu, beberapa wakil rakyat PAS hilang. Mula-mula tiga orang. Ustaz Man Semerak (Abdul Rahman Salleh), Dollah Speaker (Abdullah Yusof) dan Yusof Latif. Lepas itu kecoh pula di Tanah Merah, wakil rakyat mereka diculik oleh polis. Haji Omar Mohamad yang kena culik itu hidup lagi sekarang. Dato’ Asri dah buat kenyataan pasal kejadian ini.
“Dengarnya, mereka diculik dari Kelantan. Dibawa ke Kuala Lumpur. Disembunyi di sebuah rumah di Jalan Pekeliling. Mereka diugut macam-macam. Diberi tawaran macam-macam. Lepas itu, mereka isytihar keluar PAS dan sokong Umno. Live di TV dan radio.
“Sebelum itu, surat khabar sebut, empat lagi akan lompat. (Datuk) Ishak Lotfi (Omar), Ustaz Man Beta (Abdul Rahman Awang Sulong), Wan Yusof (Wan Mohamad) dan Ustaz Kadir Selising (Abdul Kadir Mat Saad). Yang empat orang ini marah, dia orang saman surat khabar. Jadi cerita mereka terhenti situ je.
“Sebab Umno dah dapat Speaker DUN, Sidang DUN dijadualkan dalam bulan Ogos itu (20 Ogos 1968). Speaker pula benarkan Usul Tak Percaya dibuat. Dua tiga hari lepas ana sampai di Kuala Lumpur itu (18 Ogos 1968), empat wakil rakyat PAS yang kena culik itu isytihar keluar PAS masuk Umno. Siap sumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi lagi. TV, radio, surat khabar semua siar cerita tok wakil masuk Umno ini. Orang PAS runsing tak sah kiralah. Orang Umno pula bersorak-sorak sebab boleh jatuhkan PAS. Dato’ Asri kata, kalau Umno nak memerintah, tunggulah pilihan raya, jangan main culik-culik gini.
“Pagi hari Sidang DUN itu (20 Ogos 1968), orang Umno berhimpun di Kota Bharu. Bila sidang mula, tiba-tiba Ustaz Man yang kerusi dia dah dialih letak belah pembangkang, dia bangun di duduk belah Kerajaan. Dia kata kat Speaker, saya sokong Kerajaan semula. Bila Ustaz Man buat gitu, Umno takde majoriti dah. Speaker pun tangguh sidang. Ustaz Man beritahu Ustaz Solah (Solahuddin Abdullah), Setiausaha Perhubungan (PAS) Kelantan, suruh pergi ambik Omar Mohamad dan Yusof Latif, sebab dia orang pun tipu je masuk Umno.
“Masa sidang berehat itu, pimpinan PAS Kelantan berusaha untuk bawa ketiga-ketiga wakil rakyat itu ke JKR 10. Semua wakil rakyat kemudian dikurung dan dikawal di JKR 10 untuk elak kena culik lagi. Lepas itu, Usul Undi Tak Percaya Umno itu gagal,” Ustaz telah menggalur cerita yang katanya dia dengar sendiri dari Dato’ Mohd Asri Haji Muda.
“Mujur Kerajaan tak jatuh,” kata saya sebagai kesyukuran kerana Allah selamatkan Kerajaan PAS Kelantan.
“Bila Kerajaan kita tipis, kita kena beringat. Jaga betul-betul wakil rakyat. Kerahsiaan dan keselamatan sangat penting. Jangan main-main, musuh cari je peluang,” nasihat Ustaz kepada kami. Teringat saya ketika itu, betapa pentingnya wala’ dalam jamaah. Dan ternyata punca kejatuhan di Perak itu kerana kita tidak cermat dalam hal-hal keselamatan dan kerahsiaan.
Peristiwa culik wakil rakyat Kelantan ini selalu dikenali sebagai Peristiwa Turn about – About turn. Kisah ini pernah saya ingatkan kepada Salahuddin Ayub supaya berhati-hati dengan politik culik ini. Tak tahu pula saya, yang dia nak tinggalkan perjuangan ini.
Itulah kisah dan ibrah. Semoga ia menjadi pelajaran kepada generasi baru.
Allahummaghfirlahu… – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan