Rabu, 27 Mei 2020

KP Imigresen belum jawab soalan, mana 100,000 pelancong China dan India?

fazleensafina


Dah berterabur, merebak, baru nak bincang SOP baharu?

BANGI – Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kesal sikap sambil lewa Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia – seolah-olah tidak peduli isu ratusan ribu pelancong China dan India yang masuk dalam negara tetapi kini ‘hilang secara radar’ tanpa dapat dikesan.

Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari berkata, Datuk Khairul Dzaimee Daud hanya fokus membanteras isu pendatang tanpa izin (PATI), sebaliknya persoalan mengenai lambakan warga China dan India dibiar tergantung.

“Ketua Pengarah JIM masih tidak bahasa kebangsaan atau buat-buat tak reti? Kita tanya mana pergi 100,000 pelancong China dan India yang ‘hilang’ dalam Malaysia?

“Lepas soalan diviralkan, KP JIM pun arahkan gempur tempat PATI. Apa maknanya,” soal Cikgu Izzat.

Terdahulu, JIM memberitahu akan melaksanakan operasi menggempur PATI menggunakan SOP baharu, susulan meningkatnya kes jangkitan COVID-19 oleh kluster berkenaan.

Khairul Dzaimee berkata, perkara itu diputuskan ketika Mesyuarat Khas Pengurusan PATI bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tegas beliau, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap PATI sekiranya mempunyai maklumat mengenai kumpulan terbabit.

SOP itu, jelas beliau, termasuk mengehadkan jumlah anggota dan pegawai yang terlibat dan mereka akan dilengkapkn dengan peralatan perlindungan diri (PPE).

Membidas perkara itu, Cikgu Izzat berkata, SOP yang sangat lemah dan tidak terancang dari pihak JIM adalah punca peningkatan penularan COVID-19 dalam kluster PATI.

“Belum lagi disebut berapa ratus anggota JIM yang sudah dikuarantin gara-gara terdedah dengan PATI yang sudah positif COVID-19 akibat arahan Ketua Pengarah JIM yang tak ikut nasihat KKM.

“Dah berterabur, dah merebak ramai, baru nak bincang SOP baharu? Buat kerja tiada SOP yang menjadi punca kluster PATI,” tegasnya.

Sebelum ini, negara pernah dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.


Tiada ulasan: